Tutup

Wan Azizah ambil cuti turun kempen PRK Cameron Highlands

Wan Azizah ambil cuti turun kempen PRK Cameron Highlands
SELAIN ambil cuti, Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga menggunakan kenderaan peribadi semasa turun berkempen PRK Cameron Highlands. - Gambar fail BERNAMA
BUKAN sekadar menggunakan kenderaan peribadi sewaktu berkunjung ke Cameron Highlands untuk berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK), bahkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga mengambil cuti kerana enggan dilihat menyalahgunakan jawatan.

Menyertai Timbalan Perdana Menteri dalam kunjungan itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Menurut Dr. Wan Azizah, tindakan yang diambil beliau bersama Fuziah dan Raja Kamarul Bahrin ialah bagi mengelakkan didakwa mempergunakan kedudukan dalam kerajaan dalam memastikan kemenangan parti dalam PRK kali ini.

"Saya ambil cuti, YB (Fuziah Salleh) dan Datuk (Raja Kamarul Bahrin Shah) juga. Kami semua ambil cuti dan kami datang ke sini dengan kereta sendiri," katanya dalam sidang media selepas sesi Dialog bersama penduduk Kampung Keledek, Jelai pada Rabu.
Kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu sebagai reaksi beliau terhadap dakwaan penggunaan jenteraan kerajaan dalam PRK Cameron Highlands oleh 'seorang timbalan menteri'.

Berikutan itu, Dr. Wan Azizah berkata, satu siasatan akan dijalankan untuk memastikan sama ada benar dakwaan yang "timbalan menteri" itu telah menyalahgunakan kenderaan Jabatan Perhutanan untuk kempen PRK.

"Kita perlu dapatkan penjelasan untuk memastikan sama ada betul atau tidak dia (Timbalan Menteri) memang sebenarnya menggunakan kenderaan itu.

"Jika terbukti, perkara yang salah tetap salah. Tetapi kita perlu lakukan siasatan terlebih dahulu," tegas Dr. Wan Azizah lagi.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak sebelum ini mengesahkan ada meminjamkan kenderaan Jabatan Perhutanan untuk tujuan rasmi seorang timbalan menteri.

Menurut Sallehuddin, beliau telah mengarahkan kenderaan berkenaan dipulangkan selepas mendapati bendera PH dilekatkan pada panel pintu kereta pacuan empat roda itu.