Seorang wanita yang bekerja sendiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menjalankan perkhidmatan memasang pendakap gigi tanpa lesen, kira-kira lima bulan lepas.

Tertuduh Nurul Rohaizaz Farhana Syuhada Zazli, 25, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mazelan Jamaludin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.55 petang, 22 Feb lalu di sebuah rumah di Taman Bentong Makmur, Bentong dekat sini.

Dia yang berbaju kurung dan bertudung hitam didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menawarkan perkhidmatan tersebut yang merupakan amalan pergigian.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mazelan menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula untuk tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Abu Bakar Ismail dan Norzaizeli Abu Samah.

Tertuduh difahamkan mengiklankan perkhidmatan itu dalam akaun media sosialnya setelah mempelajari cara untuk memasang pendakap gigi daripada rakan, dengan kebanyakan 'pelanggan' adalah golongan remaja.

-- BERNAMA