Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Wanita dipenjara atas 208 pertuduhan pecah amanah

Wanita dipenjara atas 208 pertuduhan pecah amanah
Seorang kerani kanan sebuah kilang elektronik dijatuhi hukuman penjara lima tahun elepas mengaku bersalah atas 208 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM308,709.14. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: "Saya terpaksa lakukan perbuatan ini demi menanggung kos rawatan kanser payudara arwah ibu ketika itu."

Itu rayuan seorang kerani kanan sebuah kilang elektronik sebelum dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas 208 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM308,709.14 antara 2010 hingga 2015.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Nooriante Modin, 37, bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu semalam (Selasa).

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat orang anak yang bertugas di jabatan pembayaran gaji itu telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta di kilang Infineon Batu Berendam di sini antara 5 Jan 2010 hingga 26 Jun 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira dua jam untuk membacakan kesemua pertuduhan yang dihadapi Nooriante.

Menurut fakta kes, pihak kilang mendapati banyak transaksi pembayaran gaji pekerja dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh, bagaimanapun semua pekerja terlibat telah menerima gaji masing-masing.

Nooriante didapati telah membuat surat kepada pihak kewangan mendakwa gaji pekerja terlibat tidak diterima kerana mempunyai masalah tertentu.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan membuat permohonan semula pembayaran gaji dengan memasukkan jumlah gaji itu ke akaun bank peribadinya.

Tertuduh yang menangis ketika merayu hukuman ringan memaklumkan mahkamah, bahawa dia melakukan perbuatan itu bagi menampung kos rawatan arwah ibunya yang menghidap kanser payudara.

Terdahulu prosiding dikendalikan empat Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin; Hayatul Wirdah Mohd Yunos; Mazuin Hashim dan Anis Wahidah Mohamad bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil jalan mudah dalam membuat keputusan.


Tag: Mahkamah Sesyen, 2015, bank, mahkamah, jenayah, penjara, amanah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.