Wanita yang ditemui mati lemas bersama seorang kanak-kanak dalam keadaan terikat di pantai Teluk Bahang, di sini, petang semalam disahkan hamil 11 minggu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata pemeriksaan ke atas mayat wanita berusia 30-an mendapati mangsa dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu mati akibat lemas.

Bagaimanapun katanya, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan penemuan tiket bas yang ada pada mangsa bagi mengenalpasti identiti mereka.

“Dalam kes penemuan seorang perempuan dengan budak lelaki umur dua tahun. Buat masa ini apa yang kami dapati bahawa mangsa juga mengandung. Sehingga kini tiada cuma kami ada jumpa tiket bas Rapid Penang dengan mangsa.

“Kami akan gunakan itu untuk siasatan punca (kematian) dan punca lemas. Sebab sehingga kini tiada petunjuk. Sebab kematian ketika ini adalah mati mengejut,” katanya pada pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Video Cakera Padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.


Polis turut meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara tampil untuk membantu siasatan sekaligus mengenalpasti identiti kedua-dua mayat itu.

Semalam, mayat seorang wanita dalam keadaan terikat bersama seorang kanak-kanak ditemui terdampar di di persisiran pantai Batu Feringgi, berhadapan dengan Tropical Spice Garden, Teluk Bahang.

Mangsa dan kanak-kanak terbabit ditemui oleh orang awam dalam keadaan kedua-kedua mangsa terikat satu sama lain dengan tali rafia.

Mangsa ditemui lengkap berpakaian dengan wanita dewasa memakai baju-T berwarna kelabu dan seluar pendek berwarna merah jambu, manakala kanak-kanak berkenaan memakai baju-T beserta seluar berwarna kelabu.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, polis melupuskan 481,060 keping VCD dan DVD cetak rompak pelbagai genre termasuk berunsur lucah bagi kes penjualan tanpa kebenaran yang diambil tindakan sejak Januari 2013 hingga Disember tahun lalu.