Seorang wanita memakai gelang merah jambu yang keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Pentadbiran (TEMCO) di Jitra untuk membeli barang di sebuah pasar raya, dikompaun RM1,000.

Dia yang berusia 30-an dikesan oleh pengurusan pasar raya terbabit beberapa hari lalu, sebelum ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata wanita berkenaan dikompaun kerana ingkar arahan kuarantin di kawasan terbabit.

"Wanita itu memberi alasan tidak tahu bahawa dia hanya dibenarkan membeli barangan di kawasan TEMCO sahaja.

"Dia sepatutnya menjalani kuarantin seperti penduduk lain. Bagaimanapun dia dipercayai keluar melalui lorong tikus kerana kita sudah menutup semua jalan keluar masuk," katanya di sini, hari ini.

Katanya, wanita terbabit disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, penduduk di kawasan TEMCO yang memakai gelang merah jambu hanya dibenarkan keluar kira-kira satu kilometer dari kawasan terbabit.

Sementara itu, Mohd Ismail berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan TEMCO dilaksanakan di daerah ini, sebanyak 82 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan ingkar PKP.

Katanya, seramai 224 anggota polis ditempatkan dalam penugasan Ops COVID yang turut dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Setakat ini, 3,400 penduduk di tiga kawasan iaitu Napoh, Jitra dan Megat Dewa sudah menjalani ujian saringan berikutan penularan kluster PUI Sivagangga di daerah Kubang Pasu.