Seorang wanita hamil tujuh bulan maut digilis lori treler dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Permatang Buloh, Sungai Dua, Butterworth malam Sabtu.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, Nur Amirah Izzati Ahmad Rohaizat, 19, yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Mertajam selepas pulang dari bertemu rakannya di Teluk Air Tawar, Butterworth.

Siasatan mendapati sebaik tiba di persimpangan jalan itu, mangsa dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah dan berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan menggelongsor di atas jalan sebelum digilis sebuah treler yang melalui laluan tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Noorzainy berkata orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nur Syafinaz Abd Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran.