Seorang wanita sarat mengandung maut dalam perjalanan ke Hospital Kulim untuk melahirkan anak keduanya.

Turut terkorban, bayi dalam kandungan serta adik iparnya yang memandu kereta.

Difahamkan dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6 pagi tadi di Jalan Kulim-Mahang itu, kereta mangsa melanggar sebuah kereta yang enggan berhenti di penghujung simpang.

Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas lalu melanggar sebatang pokok.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasser Jaafar mengesahkan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mazidah Shaari, 31, dan Muhamad Ghani Abd Razak, 26.

Mazidah dan bayi dalam kandungannya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala Muhamad Ghani maut di tempat kejadian.

Tiga lagi anggota keluarga iaitu ibu, adik serta anak sulung mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.