SASARAN Negara Berpendapatan Tinggi telah menjadi tumpuan dalam perbincangan dasar ekonomi sejak tujuh tahun lepas. Pelbagai dasar telah dirangka untuk mencapai tujuan ini tetapi jawapan tepat masih belum ditemui.

Eureka! Di sini saya ingin kongsikan rahsianya. Kunci untuk mencapai sasaran ini terletak pada separuh sisi kemanusian; iaitu Wanita. Biar saya jelaskan.

Pemerkasaan wanita mempunyai potensi untuk membuka peluang untuk tambahan pendapatan per kapita dianggarkan berjumlah ASD 2,300 kepada negara; yang mana dengan mudahnya membolehkan sasaran kita tercapai dalam masa yang singkat.


Perenggan pertama Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyebut: “Bahawasanya pengiktirafan keutuhan kemuliaan dan hak samarata serta asasi yang tak terpisah bagi seluruh umat manusia adalah asas kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia.”

Bagaimanapun, dunia tidak sempurna. Betul semua manusia setaraf, tetapi ada yang lebih tinggi taraf berbanding yang lain, dan kenyataannya tiada yang lebih rendah tarafnya daripada wanita dan semua orang perlu bertanggungjawab.

Wanita membentuk separuh daripada kemanusian sejagat, setaraf dengan lelaki dalam semua aspek, kecuali kekuatan fizikal- maka, dipanggil jantina yang lebih lemah, dan lebih cantik untuk dilihat- maka, dipanggil jantina yang lebih lembut.

Malang, dewasa ini walaupun era moden dan progresif, diskriminasi dan stereotaip gender masih tebal dan sering berlaku.

Wanita Dikemuncak Pendidikan Tinggi

Masyarakat secara umumnya sering merendahkan pencapaian wanita. Ini termasuklah pencapaian mengagumkan wanita dalam pendidikan tinggi; satu arena di mana wanita telah memecahkan batasan yang sebelum ini hanya menjadi hak milik lelaki.

Ini tidaklah mengejutkan memandangkan pendidikan tinggi telah didominasi oleh lelaki sejak berkurun lamanya. Oleh kerana tidak mahu menerima hakikat, terdapat yang mengatakan wanita berjaya di pendidikan tinggi kerana bilangan mereka yang ramai!

Bagaimanapun, fakta bertentangan dengan tanggapan umum. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); sehingga 2016, nisbah jantina di Malaysia ialah pada kadar 107 lelaki berbanding 100 wanita. Ini membawa kepada jumlah lelaki seramai 16.4 juta dan wanita seramai 15.3 juta di Malaysia.

Sejak beberapa dekad yang lepas, wujud perubahan besar dalam keseimbangan gender; wanita telah mula mengatasi lelaki dalam jumlah kemasukan ke universiti. Aliran global yang bukan sahaja berlaku di negara maju seperti Amerika dan Eropah, tetapi juga wujud di negara Asia seperti Brunei, China, Filipina dan Indonesia; Malaysia pula kes paling ekstrim di rantau ini.

Pada tahun 2015, hampir 55% pengambilan pelajar ke pendidikan tinggi (universiti awam dan swasta, kolej komuniti, dan politeknik) didominasi oleh wanita dengan jumlah 280,296 berbanding lelaki yang berjumlah 230,858. Wanita juga mendominasi pengambilan di universiti awam dengan sejumlah 106,277 diterima masuk; iaitu 63% daripada jumlah kemasukan berbanding pelajar lelaki yang berjumlah 61,850.

Bagaimanapun, di universiti swasta; lelaki dan perempuan nisbahnya hampir 50:50. Tahun yang sama juga menyaksikan 169,198 wanita berjaya menamatkan pengajian daripada institusi pendidikan tinggi berbanding 120,596 lelaki yang menamatkan pengajian.

Angka ini membuktikan wanita mendahului dalam pendidikan tinggi. Dengan lebih daripada 50,000 graduan wanita dibandingkan dengan lelaki pada tahun 2015 sahaja, bayangkan jumlah perbezaan yang wujud sejak satu dekad lepas!

Malangnya, kejayaan yang diraih wanita dalam pendidikan tinggi tidak diterjemahkan kepada pekerjaan.

Selain daripada sektor pendidikan, wanita tidak dilihat terlibat secara besar-besaran dalam tenaga kerja baik sebagai pemimpin korporat, undang-undang, akademik, ekonomi atau politik jika dibandingkan dengan jumlah graduan wanita.

Kadar Penglibatan Pekerjaan

Pada tahun 2015, penglibatan tenaga buruh wanita berada pada tahap 54.1% (daripada jumlah 9.9 juta tenaga buruh wanita yang ada), ketinggalan jauh di belakang penglibatan lelaki yang mencatat 80.6%. Jumlah ini hanya meningkat sedikit sahaja berbanding 47.2% pada tahun 2000.

Negara jiran kita mempunyai kadar penglibatan tenaga buruh wanita yang jauh lebih tinggi iaitu Myanmar pada tahap 75.2%, Kemboja 78.8%, Laos 76.3%, Vietnam 73% dan Thailand pada kadar 75.2%.

Statistik ini meninggalkan kita dengan persoalan, “Ke mana pergi wanita dan di mana mereka kini dalam masyarakat kita?”

Soalan seterusnya ialah, “apakah manfaat sosio-ekonomi dalam pemerkasaan wanita?” dan “Apakah cabaran yang dihadapi mereka dan bagaimana hendak mengatasinya?”.

Kajian Bank Dunia mengenai penglibatan wanita Malaysia dalam tenaga kerja mendapati wujud satu corak yang menerangkan situasi wanita Malaysia yang berusia lebih daripada 26 tahun lebih sensitif kepada kitaran perubahan hidup berbanding negara lain di dunia. Wanita yang berkahwin di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai kadar penglibatan tenaga buruh paling rendah. Selain itu, wanita Malaysia juga bersara lebih awal berbanding rakan sekerja lelaki mereka.

Bank Dunia menyifatkan situasi ini berlaku kerana wanita terperangkap dalam sindrom “dwi bebanan” iaitu pengurusan anak-anak atau orang tua di rumah. Selain itu, faktor yang menyumbang kepada jurang kadar penglibatan tenaga buruh ini ialah wanita yang meninggalkan pasaran kerja selepas umur 26 tahun tidak akan kembali menyertainya.

Situasi ini dikenali sebagai profil “satu kemuncak”. Berbanding negara lain di Asia, seperti di Jepun dan Korea, mereka mempunyai profile “dua kemuncak”; di mana terdapat penglibatan semula wanita dalam tenaga kerja selepas mereka mencapai umur 35 tahun.

Persekitaran yang menyumbang kepada keputusan wanita untuk terus kekal di luar atau tidak masuk kembali ke dalam tenaga kerja perlu dinilai dalam konteks nilai budaya dan sosial Malaysia bagi menentukan kesesuaian persekitaran dasar dan insentif bagi mengekalkan jumlah wanita yang tinggi dalam pasaran kerja selepas perkahwinan.

Selain daripada sektor formal, wanita dilihat lebih melibatkan diri dalam sektor tidak formal di mana mereka ditawarkan masa kerja yang lebih fleksibel. Salah satu jalan yang paling popular diambil oleh wanita kini ialah menjalankan perniagaan melalui platform media sosial.

Wanita dalam Politik, Kerajaan Tempatan dan Negeri

Sejak kita merdeka, wanita Malaysia telah mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihanraya dan memegang jawatan pentadbiran. Kini, wanita ialah sebahagian daripada pengundi berdaftar dan aktif melibatkan diri dalam kegiatan politik.

Bagaimanapun, berbanding menjadi pemimpin, majoriti wanita meneruskan corak berpolitik yang hanya melibatkan aktiviti sokongan kepada lelaki terutama sekali dalam penjanaan kewangan politik, melibatkan diri sepenuhnya hanya sewaktu pilihanraya, melakukan tugas rutin berkaitan dengan kempen harian, dan menjadi perantara dengan pengundi semasa proses pilihanraya untuk parti politik masing-masing.

Peranan gender yang lapuk kekal sama di mana wanita hanya menuruti pemimpin lelaki dan mengekalkan kedudukan tradisional dalam parti politik.

Jumlah wanita yang memegang jawatan dipilih rakyat dalam kerajaan negeri dan persekutuan juga mengecewakan. Ketidaksamaan gender masih lagi wujud dalam arena ini, seperti yang terbukti dengan jumlah penglibatan wanita yang sangat rendah dalam semua tahap pentadbiran politik.

Malaysia menduduki tangga ke 156 daripada 189 negara di mana jumlah perwakilan wanita di peringkat parlimen sangat kecil iaitu hanya 10.4% atau 23 kerusi daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen. Persidangan peringkat negeri juga menunjukkan corak yang hampir serupa dengan hanya sejumlah 10.8% atau 55 kerusi dipegang wanita, daripada 505 jumlah kerusi di dewan undangan negeri.

Mungkin Malaysia boleh membandingkan situasi ini dengan negara jiran kita, yang mana mempunyai jumlah wanita yang lebih tinggi dalam penglibatan politik; Vietnam (24%), Laos (25%), Singapura (25%) dan Filipina (27%).

Situasi yang wujud dalam cabang Eksekutif Kerajaan persis dengan cabang Legislatif.

Sejak 1957, jumlah menteri wanita tidak pernah melebihi tiga orang dan ianya kekal sehingga hari ini di mana daripada 35 ahli kabinet; seorang memegang portfolio Kementerian Wanita dan dua orang lagi menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Situasi hampir sama juga wujud di semua kerajaan negeri malah Terengganu dan Sarawak tidak pernah melantik exco wanita. Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat memecahkan corak ketidaksamaan ini apabila mereka melantik empat wanita memegang jawatan exco daripada 10 orang pemegang jawatan exco pada 2008.

Bagaimanapun, mereka tidak melakukan perkara serupa di Perak ketika mereka memegang kuasa, gagal untuk melantik seorang pun wanita menjadi exco walaupun mempunyai jumlah kedua tertinggi perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri dan Selangor pula mengurangkan exco wanita mereka kepada hanya 2 orang pada tahun 2013.

Pemerhatian juga mendapati wanita terbatas peluangnya dalam perlantikan ahli majlis kerajaan temapatan apabila hanya 362 (14.1%) wanita dilantik ke dalam jawatan itu daripada jumlah 2,567 jawatan yang wujud.

Pemimpin Wanita dalam Perkhidmatan Awam dan Korporat

Sehingga 2015, terdapat 718,044 (57.1%) kakitangan awam wanita daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam sebanyak 1,257,166 dalam gred pengurusan dan profesional (Gred 1-54), bagaimanapun dalam lapisan tertinggi pengurusan (Gred Jusa C dan ke atas), hanya 1,498 (37.1%) ialah wanita daripada jumlah jawatan sebanyak 4,041.

Namun hanya 5 orang (11.4%) dilantik sebagai pengarah di badan berkaitan kerajaan, 13 orang (31.7%) sebagai timbalan ketua setiausaha dan 7 orang (29.2%) sebagai ketua setiausaha.

Dalam bidang korporat, menurut Bursa Malaysia bagi tahun 2015, sejumlah 26.3% wanita memegang jawatan pengurusan tertinggi dalam syarikat yang disenaraikan di pasaran saham. Bagaimanapun, wanita hanya membentuk 15% daripada jumlah ahli lembaga pengarah syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Wanita pernah dan masih memegang beberapa jawatan tertinggi sebagai Gabenor Bank Negara, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Pengarah Urusan Bank, Pengerusi Majlis Peguam, Ketua Pegawai Eksekutif di Air Asia X dan SME Corp sekadar menyebut beberapa nama. Namun begitu ini adalah luar dari kebiasaan dan bukan perkara norma.

Wanita sebagai Pendidik dan di dalam Sistem Perundangan

Terdapat 421,828 guru di Malaysia dan hampir 72% daripada mereka ialah wanita. Bagaimanapun, hanya 3,580 (37.2%) wanita menjadi guru besar di sekolah rendah, atau pengetua di sekolah menengah biasa atau sekolah berasrama penuh daripada jumlah jawatan sebanyak 9,615. Wujud jurang yang sangat besar di sini memandangkan jumlah guru wanita yang ada dan jumlah guru wanita yang berjaya memegang jawatan pembuat keputusan tertinggi sekolah.

Jurang yang sama wujud di universiti, walaupun terdapat 11,931 (56.6%) pensyarah wanita daripada 21,077 jumlah pensyarah, hanya 13 orang (23.6%) dilantik menjadi timbalan naib canselor daripada 68 jumlah jawatan dan hanya 4 orang (19.12%) wanita dilantik menjadi naib canselor daripada 20 jawatan naib canselor yang ada.

Jumlah wanita dalam sistem perundangan semakin bertambah, situasi yang diharapkan akan menjadi kunci penggerak dalam perubahan sistem yang akan meningkatkan status perlindungan perundangan untuk wanita. Terdapat 3 orang (27%) wanita daripada 11 orang hakim di Mahkamah Persekutuan, 12 orang (41.4%) hakim wanita di Mahkamah Rayuan daripada 29 orang hakim dan 29 orang (50%) daripada 58 orang hakim di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Syariah jauh ketinggalan dimana wanita hanya diwakili oleh 8 orang (10.8%) daripada jumlah keseluruhan hakim seramai 74 orang.

Dalam aspek pengamal undang-undang, jumlah wanita ialah 8,551 (51.7%) daripada 16,537 jumlah keseluruhan peguam berdaftar. Bagaimanapun, sepertimana guru, wanita masih jauh ketinggalan dalam nisbah gender peguam muda dan kanan berbanding jumlah wanita yang diangkat menjadi rakan kongsi malah dalam jawatan eksekutif Majlis Peguam negara. Lebih ramai wanita perlu mengisi jawatan pembuat keputusan.

Pemerkasaan Wanita untuk Manfaat Sosio-Ekonomi

Kajian dilakukan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OEDC) tentang ketidaksamaan gender mendapati peningkatan pendapatan isi rumah yang dikawal oleh wanita membawa manfaat kepada anak-anak dan keluarga secara keseluruhannya.

Kajian itu juga mendapati peningkatan tahap perbelanjaan untuk pendidikan wanita dan gadis menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi sehingga 50% di negara-negara ahli OEDC sejak 50 tahun lepas.

Selain itu, satu lagi kajian dilakukan Dr. Emmanuela Gakidou dari University of Washington mendapati; untuk setiap tambahan tahun pendidikan kepada wanita dalam umur subur (reproductive age), kadar kematian kanak-kanak berkurangan sebanyak 9.5% (berdasarkan data sejarah dari 219 negara daripada tahun 1970 hingga 2009).

McKinsey & Company (2014) merumuskan yang kesaksamaan ekonomi wanita bagus untuk perniagaan. Syarikat dapat meraih manfaat besar dalam konteks kecekapan organisasi dengan meningkatkan peluang kepimpinan untuk wanita. Syarikat dengan tiga atau lebih wanita dalam pengurusan kanan meraih mata lebih tinggi dalam semua ukuran dimensi kecekapan organisasi. Wanita mampu menjalankan tugas dengan lebih baik dalam bidang tersebut kerana umumnya mereka mempunyai wawasan dan kebijaksanaan emosi yang lebih tinggi.

Sekiranya kita mahu setanding dengan kadar penglibatan tenaga buruh wanita di Singapura iaitu 63%; tambahan 1.4 juta wanita diperlukan dalam tenaga kerja dan sekiranya kita mahu mencontohi Kanada yang mempunyai kadar 74%; tambahan 2.3 juta wanita diperlukan dalam tenaga kerja. Jumlah itu hanyalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan wanita negara yang tidak terlibat dalam tenaga kerja seramai 4.5 juta orang.

Bank Dunia menjangkakan yang 2.3 juta wanita yang hilang daripada pasaran tenaga kerja ini boleh meningkatkan jumlah pendapatan per kapita secara mendadak sebanyak 23% daripada aktiviti keusahawanan (6%) dan tenaga kerja wanita yang “hilang” (17%) sekiranya diterjemahkan ialah ASD 2,300 per kapita, yang mampu membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam masa yang singkat.

Ibu Bekerja Membentuk Anak Lelaki dan Perempuan Lebih Baik

Kajian terhadap 50,000 orang dewasa dari 25 buah negara oleh Harvard Business School mendedahkan hasil kajian mengejutkan yang bertentangan dengan kepercayaan popular dan pegangan tradisional.

Kajian itu mendapati anak-anak yang membesar dengan ibu yang bekerja meningkatkan peluang kerjaya masa depan untuk anak lelaki dan perempuan dan tidak memberi kesan buruk kepada perkembangan anak-anak menuju usia dewasa dalam aspek sosial dan ekonomi.

Wanita yang dibesarkan ibu bekerja menunjukkan prestasi yang lebih baik di tempat kerja. Mereka akan cenderung diberi tanggungjawab mengawalselia di tempat kerja, dan memperolehi upah yang lebih tinggi berbanding wanita yang dibesarkan ibu yang tidak bekerja sepenuh masa. Kajian itu bagaimanapun tidak menemui kesan kepada prestasi anak lelaki di tempat kerja kerana lelaki kebiasaannya dianggap perlu bekerja.

Bagaimanapun, lelaki yang mempunyai ibu bekerja mempunyai prestasi yang lebih baik dalam urusan domestik dan menghabiskan lebih banyak masa menjaga ahli keluarga. Kajian juga mendapati lelaki yang mempunyai ibu bekerja menghabiskan masa dua kali ganda untuk penjagaan keluarga dan anak-anak berbanding mereka yang berasal daripada isirumah tradisional; iaitu purata jam mingguan sebanyak 16 jam berbanding 8.5 jam.

Halangan dan Cabaran di Tempat Kerja

Di manakah kedudukan kita dalam isu ketidaksamaan gender? Malaysia berada di kedudukan 111 daripada 145 dalam Indeks Jurang Gender Forum Ekonomi Dunia. Bagaimanapun, berdasarkan Indeks Ketidaksamaan Gender UNDP (GII), Malaysia berada di kedudukan lebih baik, berada di kedudukan 62 daripada 188 negara. Apapun, masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Kajian oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati yang wanita mempunyai tanggungjawab yang tidak seimbang untuk kerja penjagaan tidak berbayar. Wanita memperuntukkan lebih 1 hingga 3 jam sehari untuk kerja di rumah berbanding lelaki; lebih 2 hingga 10 jumlah masa diperuntukkan sehari untuk penjagaan (kanak-kanak, orang tua, dan menjaga mereka yang sakit), dan kurang 1 hingga 4 jam sehari untuk kerja-kerja berbayar.

Situasi ini juga berlaku di Malaysia. Perbezaan ini, yang berakar umbi dalam peranan gender, mengurangkan masa lapang, kebajikan dan kesejahteraan wanita. Hasil daripada perbezaan tanggungjawab domestik ini, lelaki dan wanita mempunyai corak penggunaan masa yang berbeza; jumlah masa lapang dan keaktifan beraktiviti.

Keadaan ini mempunyai kesan kepada kemampuan wanita untuk terlibat dalam peluang pendidikan, kemampuan mereka untuk meraih peluang ekonomi dan keusahawanan, dan untuk terlibat lebih mendalam dalam kehidupan semasa ekonomi, politik, awam dan sosial.

Di Malaysia, 67% wanita menyatakan yang faktor penjagaan dan hal lain keluarga serta tanggungjawab peribadi sebagai alasan tidak terlibat dalam pasaran tenaga kerja, berbanding hanya 2% lelaki. Perbezaan ini sangat besar dibandingkan dengan EU yang hanya 25%. Ini secara langsung memberi kesan negatif kepada penglibatan wanita dalam pasaran tenaga buruh di Malaysia.

Wanita juga lebih mudah terdedah kepada kerapuhan ekonomi memandangkan majoriti wanita bekerja dalam pekerjaan tidak mahir dan separa mahir. Kesenjangan upah antara lelaki dan wanita masih berleluasa di Malaysia di mana wanita memperolehi upah yang lebih rendah berbanding lelaki di semua sektor pekerjaan, terutama dalam pekerjaan tidak mahir dengan jurang upah sebanyak 10-40% berbanding lelaki (Sumber: Kajian Gaji & Upah 2014).

Selain itu, persekitaran yang selamat untuk wanita pergi bekerja juga merupakan satu cabaran memandangkan jenayah, terutama ragut, sedang meningkat; dan wanita merupakan sasaran utama.

Diskriminasi terhadap Wanita Hamil

Kajian Diskriminasi Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh The Women’s Aid Organisation (WAO) mendapati bahawa 40% responden wanita mempunyai pengalaman diskriminasi tempat kerja disebabkan mereka hamil. Kajian itu juga mendedahkan yang lima cara yang paling kerap digunakan oleh majikan untuk mendiskriminasikan wanita ialah pengurangan skop jawatan mereka, menafikan peluang kenaikan pangkat, menempatkan mereka dalam tempoh percubaan yang panjang, menurunkan pangkat mereka, dan membuang kerja.

Kajian juga mendedahkan yang 20% wanita mengalami permohonan kerja ditolak atau tawaran kerja ditarik kembali selepas mereka mendedahkan status kehamilan mereka. Hasil kajian juga menunjukkan yang 30% wanita sengaja melewatkan kehamilan kerana takut kehilangan kerja atau peluang kenaikan pangkat.

Hanya 1 daripada 8 wanita yang kehilangan kerja atau dinafikan peluang naik pangkat disebabkan kehamilan, membuat aduan rasmi. Majoriti wanita tidak tahu hak mereka atau bimbang akan wujudnya tindakan balas dan gangguan sekiranya mereka bersuara. Tambahan pula, kedua-dua Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Hubungan Industri 1967 hanya menawarkan perlindungan minimum, sekiranya ada.

Perlindungan perundangan sedia ada tidak mencukupi dan masih tidak ada undang-undang khusus di Malaysia yang menangani diskriminasi berkaitan kehamilan.

Gangguan Seksual kepada Wanita

Gangguan berasaskan seks boleh wujud dalam pelbagai bentuk di tempat kerja dan ruang awam. Gangguan seksual termasuklah lisan, bukan lisan/ bahasa badan, visual, psikologi dan gangguan fizikal. Sepertimana diskriminasi kehamilan, tiada undang-undang khusus di Malaysia yang berkaitan dengan gangguan seksual.

Buat masa sekarang, wanita boleh melakukan aduan melalui Akta Kerja (Pindaan) 2012 yang meluaskan definisi gangguan seksual dan menambah peruntukan gangguan seksual di tempat kerja. Bagaimanapun, undang-undang itu hanya melibatkan gangguan di tempat kerja; yang tidak meluas dan sangat terbatas.

Akta itu hanya melindungi mereka yang bekerja dan tidak meliputi wanita yang bekerja di sektor tidak formal. Peruntukan dalam Akta itu juga tidak melibatkan banyak pekerjaan yang melibatkan wanita, seperti Ahli Parlimen yang diganggu secara seksual oleh Ahli Parlimen lelaki, pekerja domestik oleh majikan, pelajar oleh guru, jururawat oleh pesakit, pesakit oleh doktor, dan penumpang oleh pemandu bas.

Pada Jun 2016, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan penting yang membuka peluang untuk saman gangguan seksual dibicarakan di mahkamal sivil melebihi batasan terhad yang diperuntukkan oleh Akta Kerja dan hakim terlibat mengakui yang Akta Kerja sedia ada tidak mencukupi.

Halangan dan Cabaran dalam Politik

Terdapat lima halangan utama yang wujud bagi wanita yang mahu terlibat dalam politik, iaitu; persepsi sosial terhadap kemampuan kepimpinan wanita, konflik peranan, kekangan agama dan budaya, kekangan struktur dalam parti politik, dan akhir sekali ialah, batasan sumber kewangan.

Kekangan struktur dalam parti politik wujud, di mana kehadiran wanita hanyalah diberikan status pendamping yang dibataskan dalam sayap wanita parti; hanya menjadi jentera parti. Kuasa sebenar masih berada dalam genggaman lelaki yang memegang kunci kuasa kepada jawatan penting parti dan calon pilihanraya.

Parti Keadilan Rakyat membuka jalan perubahan dengan perlantikan wanita sebagai presiden parti dan seorang wanita sebagai naib presiden yang juga bertanggungjawab dalam pemilihan calon pilihanraya. Buat ahli majlis tertinggi pula, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Maju Sabah menerajui perubahan ini dengan masing-masing mempunyai 26.7% dan 23.1% ahli wanita manakala BERSATU, UMNO, MIC, DAP ketinggalan di belakang dengan masing-masing mempunyai 13%, 11.7%, 10.3% dan 10% serta dan PAS dan MCA masing-masing mempunyai peratusan sebanyak 8.6%. AMANAH dan UPKO paling corot dengan masing-masing sebanyak 6.9% dan 4.5%.

Tambahan pula, dalam politik, wanita berdepan dengan masalah yang sama seperti dalam pasaran kerja, dibebani dengan “dwi bebanan” yang kekal sebagai faktor penghalang penglibatan penuh mereka dalam politik. Halangan ini menyebabkan jumlah perwakilan wanita yang rendah dalam cabang perundangan peringkat persekutuan dan negeri; seterusnya menghasilkan kesan langsung kepada jumlah eksekutif dalam kerajaan.

Jadi bagaimana kita hendak bergerak ke depan sedangkan halangan dan cabaran memperkasakan wanita ini masih wujud?

Institusi Wanita dan Pembuat Keputusan

Kerajaan Malaysia pada tahun 1975 memperkenalkan Majlis Penasihatan Kebangsaan tentang Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID) sebagai jentera untuk menggerakkan penglibatan wanita dalam pembangunan. Ia ditugaskan untuk menasihati kerajaan dalam isu wanita.

Pada tahun 2001 Kementerian Hal Ehwal Wanita dibentuk dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai menteri yang khusus memberikan tumpuan kepada pembangunan wanita. Tiga tahun kemudian ruang lingkup kuasanya diperluaskan meliputi pembangunan keluarga dan kebajikan sosial serta diubah namanya kepada nama yang digunakan sekarang, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

NACIWID kemudiannya diletakkan di bawah kementerian ini dan digelar Majlis Wanita. Majlis Wanita kini hanya menasihati satu kementerian, dan tidak lagi menasihati kerajaan secara keseluruhannya.

Bagi permulaan langkah mengatasi cabaran yang dihadapi wanita dan bergerak maju ke depan, Majlis Wanita yang “hilang taring” kini perlu dirombak menjadi Suruhanjaya Wanita Kebangsaan memberikannya kuasa sebenar dan kuasa untuk mengarah, mengawalselia, dan memantau pelaksanaan Pemerkasaan Wanita dan Kesaksamaan Gender Negara.

Bagi memacu kepimpinan politik wanita, sebuah Institusi Politik Wanita yang bebas dan tidak berkaitan dengan mana-mana parti perlu ditubuhkan untuk menyuburkan dan mengembangkan kemampuan wanita. Lebih banyak kajian dan institusi untuk wanita seperti Institut Kajian Wanita (Kanita) di USM dan Jabatan Pengajian Gender di UM perlu ditubuhkan dengan sokongan penuh.

Lebih ramai wanita perlu ditempatkan dalam jawatan pembuat keputusan dalam semua ruang kehidupan; baik dalam arena politik, perkhidmatan awam, korporat dan masyarakat awam.

Sasaran mudah yang wujud kini iaitu mempunyai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam jawatan pembuat keputusan dalam sektor kerajaan dan swasta ada faedahnya. Malangnya, kita hanya akan berakhir dengan mewujudkan struktur gelas yang baru. Penglibatan wanita yang sekarang diberikan perhatian cenderung kepada pengurusan tertinggi (dalam sasaran 30%) dan jawatan kemasukan baru tetapi lompang dalam pengurusan pertengahan. Lebih banyak tindakan diperlukan untuk mengisi kelompangan sasaran yang wujud dalam sistem profesional ini.

Wanita untuk Masa Depan Yang Lebih Cerah

Walaupun inisiatif sedia ada untuk menggunakan dan mengangkat bakat wanita perlu dipuji, lebih banyak pilihan dasar lain juga perlu diteroka, dinilai, dan disesuaikan, bagi membolehkan wanita Malaysia menyumbang sepenuhnya kepada transformasi Malaysia menuju ekonomi pendapatan tinggi, inklusif dan lestari.

Inisiatif perlu dilakukan untuk mengakhiri semua bentuk diskriminasi terhadap wanita, untuk menghapuskan semua bentuk keganasan terhadap wanita, untuk memastikan penglibatan penuh dan berkesan wanita dalam politik, korporat dan hal ehwal awam, untuk melaksanakan perubahan bagi kesaksamaan hak sumber ekonomi, dan yang paling mustahak, untuk mengiktiraf dan menghargai kerja-kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar.

Wanita sedang menerajui aktiviti dalam kelas dan luar kelas berbanding minoriti lelaki dalam persekitaran pendidikan tinggi dan sangat mustahak untuk perkara ini diteruskan selepas meninggalkan universiti. Anjakan paradigma yang menghapuskan streotaip wanita hanya sebagai suri rumah dan penjaga anak perlu dilakukan secara serius.

Status quo telah dipecahkan. Wanita kini semakin bertindak sebagai pemberi dan pencari nafkah setanding lelaki tetapi pada masa yang sama kerja penjagaan tidak berbayar masih tidak diiktiraf. Wanita dipertanggungjawabkan untuk bekerja dan pada waktu yang sama tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan beban penjagaan. Situasi ini tidak sihat dan tidak lestari.

Dalam jangka masa panjang, norma sosial sedia ada perlu berubah bagi merapatkan jurang gender. Kejuruteraan semula sosial dan perangkaan semula dasar perlu dilakukan bagi menghasilkan penyelesaian terbaik kerana kemunculan dinamik sosial baru ini.

Pendidikan sensitif gender perlu bermula dari sekolah, dikuatkuasakan oleh sistem perundangan, memastikan perubahan kesaksamaan gender dalam institusi kerajaan, dan juga pihak berkuasa, termasuklah pasukan polis.

Sokongan Perundangan untuk Wanita

Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), diterima pada 1979 oleh Perhimpunan Agung PBB, sinonim dengan peruntukan hak asasi antarabangsa untuk wanita. Ia mempunyai pengenalan mustahak dan 30 perkara, mendefinisikan apakah yang dikatakan sebagai diskriminasi terhadap wanita dan langkah untuk menghapuskan semua diskriminasi yang wujud.

Selaku ahli yang meratifikasi CEDAW, Malaysia perlu memasukkan perkara ini dalam perundangan domestik dan melaksanakan Akta Kesaksamaan Gender. Penilaian semula perundangan sedia ada perlu dilakukan bagi meminda perundangan yang mendiskriminasi wanita. Seterusnya, setiap negeri perlu mewujudkan Dasar Gender tersendiri yang dipandu oleh keperluan negara. Ini akan memastikan Kesaksamaan Gender disalurkan dalam semua dasar dan program peringkat kerajaan persekutuan sehinggalah negeri.

Undang-undang yang menyeluruh perlu wujud untuk melindungi wanita daripada gangguan seksual dengan mewujudkan Akta Gangguan Seksual. Diskriminasi gender perlu dihapuskan sepenuhnya dengan mengenakan tindakan ke atas jabatan kerajaan atau syarikat yang didapati bersubahat melindungi kejadian dan pemangsanya. Kita perlu melindungi wanita yang hamil dengan mewujudkan Akta Diskriminasi Kehamilan.

Kedua-dua akta ini akan menyediakan perlindungan perundangan kepada wanita dan memastikan mereka berasa lebih selamat di tempat kerja mereka dan dalam masyarakat secara umumnya.

Ingatlah, apa sahaja yang membuatkan wanita rasa terhina dan merampas kehormatan diri mereka ialah satu penderaan.

Menjadikan Kerja Mesra Keluarga

Pengecualian cukai sedia ada untuk menghantar kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah ke pusat penjagaan kanak-kanak dan prasekolah masih tidak mencukupi. Pusat penjagaan kanak-kanak percuma di semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan sangat diperlukan untuk membantu mengurangkan beban penjagaan anak dan membantu keluarga mencapai keseimbangan kerja-kehidupan. Ini perlu dilaksanakan dalam usaha menjadikan tempat kerja mesra keluarga.

Pada tahun 2015, terdapat 3,193 institusi penjagaan kanak-kanak berdaftar, terdapat 118 pejabat kerajaan dan 24 pejabat swasta yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak. Ini satu ilustrasi menunjukkan permintaan besar institusi penjagaan kanak-kanak yang sewajarnya disediakan oleh pejabat kerajaan dan swasta.

Sektor kerajaan lebih baik sedikit berbanding sektor korporat. Kedua-dua sektor kerajaan dan swasta kekurangan inisiatif dan kebanyakkannya masih gagal menyediakan akses penjagaan anak-anak dan jam bekerja yang fleksibel kepada ibu bekerja serta cuti bersalin untuk ibu dan bapa yang lebih panjang.

Penjagaan anak-anak ialah tanggungjawab bersama, yang bermakna sikap dan layanan terhadap bapa juga perlu berubah.

Lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan wanita mempunyai lebih banyak perlindungan sosial dalam sektor tidak formal. Pastinya ini secara drastik akan mengurangkan jumlah wanita yang meninggalkan pasaran tenaga kerja. Sokongan juga perlu diberikan bagi menggalakkan kewujudan lebih ramai usahawan wanita.

Bagi mengatasi keperluan berbeza antara wanita dan lelaki, isu-isu ini juga perlu diterjemahkan dalam dasar pengangkutan awam, kesihatan awam, wanita dalam politik, serta memperkukuhkan usaha korporat dalam menggalakkan kepelbagaian gender.

Tanggungjawab Pihak Berkepentingan

Semua yang disebut di atas ialah desakan kepada semua pihak berkepentingan supaya tidak berhenti memberi tekanan mewujudkan perubahan dengan sokongan penuh kerajaan, termasuklah agensi dan sektor swasta. Pemain pihak ketiga daripada pergerakan masyarakat sivil perlu disokong kerana mereka mampu menembusi tahap akar umbi, meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia secara umumnya, dan bertindak sebagai bantuan sokongan kepada kerajaan dan sektor swasta.

Contoh terbaik ialah Gabungan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG), yang dibentuk pada 1985, sebuah gabungan 12 organisasi bukan kerajaan yang berusaha ke arah kesaksamaan gender yang terdiri daripada Kesatuan Peguam Wanita (AWL), Organisasi Bantuan Wanita (WAO), All Women’s Action Soceity (AWAM), Women’s Centre for Change (WCC), Tenaganita dan lain-lain.

JAG perlu diberikan pujian kerana menerajui pelbagai kempen dan usaha perubahan perundangan, yang membuahkan hasil seperti kewujudan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan kemasukan terma “gender” dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada 2001.

Kemunculan NGO baru seperti Lean In Malaysia, Women;girls, The G-Blog dan juga inisiatif media sosial seperti Leading Ladies of Malaysia dan sebagainya juga perlu disokong dan dipertahankan.

Wujud manfaat sosio-ekonomi besar sekiranya kita meneroka dan membuka potensi wanita yang sangat diperlukan negara.

Rencana ini dalam kapasitinya sendiri, tidak akan mampu merangkumi semua cabaran dan memberikan cadangan mencukupi bagi penyelesaian mendalam dan holistik bagi memacu pemerkasaan wanita.

Bagaimanapun, adalah diharapkan yang rencana ini mampu mencetuskan kesedaran awam tentang cabaran, manfaat sosio-ekonomi, dan cadangan untuk memperkasakan wanita, seterusnya memulakan lebih banyak perbincangan bagi mencapai penyelesaian mutlak.

Sudah banyak yang berubah demi kebaikan semua, tetapi bukan untuk semua wanita dan bukan juga dalam semua ruang kesaksamaan gender. Wanita Malaysia, negara anda perlukan anda! Kerana itu, BERSATULAH!


*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli

**Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.