Seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa ragut di kawasan kaki lima berhampiran air pancut Dataran Merdeka di ibu negara masih belum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan berkata identiti wanita yang menjadi mangsa dalam kejadian itu masih belum dikenal pasti.

“Polis menyeru wanita berkenaan tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan video yang tular di media sosial, seorang lelaki bermotosikal cuba meragut beg mangsa namun tidak berjaya.

“Kejadian itu menyebabkan wanita tersebut terseret beberapa meter kerana cuba berpaut kepada beg tangan miliknya daripada diragut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video 20 saat menunjukkan mangsa diseret di atas kaki lima dalam keadaan terlentang sebelum peragut melepaskan beg tangan dipegang mangsa.

Peragut dilihat turun daripada motosikalnya sebelum melarikan diri.