Seorang wanita ditemui mati dengan kesan jerutan di lehernya di sebuah ladang kelapa sawit di Taman Permai, Mambang Di Awan, dekat sini pada petang Jumaat.

Mangsa, S. Letchumi, 28, yang berasal dari Bandar Baru Kampar ditemui terlentang dengan kesan jerutan di leher oleh lelaki berusia 60 tahun yang memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata wanita tersebut ditemui oleh orang awam yang masuk untuk mencari cendawan sekitar pukul 1 tengahari.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati wanita tersebut telah meninggal dunia.

"Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati perempuan yang terbaring berkenaan dipercayai telah dibunuh dan setakat ini kita akan melaksanakan siasatan lanjut.

"Kita juga menemui kesan jerutan di leher wanita berkenaan selain kesan pukulan dipercayai disebabkan oleh objek tumpul di leher dan kepala mayat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada petang Jumaat.

Kong Soon berkata, pihaknya masih cuba mendapatkan motif siasatan kejadian bunuh tersebut.

Beliau juga menolak kemungkinan bahawa kejadian itu berunsur rompakan kerana barang kemas masih berada di tangan mangsa.

Jelasnya, pihak polis juga menemui kunci dan helmet motosikal berhampiran dengan mangsa manakala motosikal diletakkan di sebuah restoran di Kampar.

"Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurut Kong Soon, siasatan awal juga mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku tidak lebih daripada 24 jam.