Polis sedang mengesan seorang 'wanita misteri' berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung pengedaran kopi pra campuran yang menyebabkan tujuh individu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar, berkata wanita itu dipercayai individu pertama yang mengedar kopi berkenaan di sekitar pasar dan beberapa restoran di Jelutong .

Katanya, keterangan wanita berkenaan diperlukan bagi melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 272 Kanun Keseksaan.

Setakat ini, polis telah merekod keterangan tujuh mangsa dan juga wanita yang memberi kopi berkenaan kepada dua lelaki Nepal.

"Setakat ini memang tiada tangkapan kerana semua adalah mangsa. Mangsa ada satu saksi, dan dia pun dapat (kopi) dari orang (lain), benda yang diedarkan. Dia dapat di pasar Jelutong," katanya.

Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini, Anuar berkata, polis juga sedang menyiasat kemungkinan kes tersebut mempunyai unsur sabotaj dan elemen lain.

Sementara itu, katanya, keputusan ujian kimia yang dilakukan terhadap air kencing dan darah dua lelaki Nepal yang meminum kopi berkenaan dijangka diperoleh hari ini.

Sehingga kini, sebanyak lima laporan polis telah diterima polis berhubung insiden kopi pra campuran yang didakwa mengandungi dadah.

Laporan yang diterima sejak 30 Januari hingga 3 Febuari itu membabitkan mangsa, pengurus kilang dan pegawai perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak sewenang-wenangnya menerima pemberian daripada individu yang tidak dikenali.

Seramai tujuh individu telah menerima rawatan di HPP akibat diserang gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi pra campuran berperisa durian yang dipercayai dicampur dadah, diberikan individu tidak dikenali.