Seorang pekerja wanita terpaksa menahan azab hampir sejam selepas jari tangan kanannya tersangkut dalam mesin pengisar mi sebelum berjaya diselamatkan bomba dalam kejadian di Kampung Beringgis, dekat sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Iriayati Boestaman, 42 tahun, sebelum itu dikatakan menjalankan kerja-kerja memproses mi di premis berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Janil Jaya berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.30 pagi dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi yang terletak 12km dari balai itu.

"Seramai lapan anggota terlibat dalam operasi ini dan kita akhirnya berjaya mengeluarkan tangan mangsa pada jam 11.23 pagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.