Nasib remaja orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah,15 tahun, yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam serbuan Imigresen di Nilai akan dibela Wanita UMNO.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata‎, pihaknya juga sedia menimbang untuk mengambil remaja berkenaan menjadi anak angkat.

"Dari segi penjagaan, kita sedia untuk mengambil Firdaus sebagai anak angkat. Selepas kisahnya disiarkan media, saya rasa terpanggil untuk membuat lawatan.

"Kita ada 1.3 juta ahli di seluruh negara, kita mahu orang ramai membuat laporan terus kepada Wanita UMNO jika takut untuk menghubungi agensi penguatkuasa seandainya ada kes seumpama ini lagi," katanya.

Shahrizat berkata demikian semasa sidang media selepas melawat Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar.

Dalam pada itu jelas Shahrizat, orang ramai diminta prihatin dan melapor sebarang kes pengabaian kanak-kanak.

Jelasnya, Wanita UMNO sedia menerima laporan jika masyarakat takut berjumpa agensi penguatkuasaan untuk tindakan pembelaan.

Terdahulu isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin turut mengadakan lawatan ke remaja OKU berkenaan.

Katanya, semua pihak perlu memberi kerjasama dalam memastikan remaja berkenaan dapat menikmati kehidupan sebaiknya.

``Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghantar anak ini ke Pusat Penjagaan Sinar Harapan susulan rawatan sehingga mendapat perhatian sehingga mendapat tempat penjagaan terbaik. Saya sedih sungguh. Pihak berkenaan iaitu JKM akan memberi tumpuan penuh untuk pastikan anak ini sihat kembali,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Tuanku Jaafar, Datuk Dr Jaafar Che Mat mengesahkan, remaja OKU itu tidak didera dan keadaan fizikalnya yang kurus kering adalah akibat pengabaian.

``Kita ambil darah dia untuk pemeriksaan, kita beri makan dekat tetapi dia tidak boleh kasi makan banyak. Dia agak rakus bila diberi makan namun kita tidak dapat beri makan banyak. Hari pertama dia makan roti sahaja, kita beri bubur dan tengok dia muntah atau tidak,'' jelasnya.

Sementara itu, bekas pengasuh Muhammad Firdaus, Norfitri Radius, menjelaskan, dia akan berada di hospital pada sebelah siang dan memberi semangat kepada remaja yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

``Saya akan selalu datang, bagi dia semangat balik sebab masa dia nampak saya dia macam ceria sebab sudah lama tidak nampak. Dia panggil ibu, saya kata...abang ibu datang. Saya nak dia ceria balik. Semalam saya nak balik, dia menangis tak bagi saya balik,'' katanya.

Pada sabtu, Firdaus ditemui Jabatan Imigresen negeri dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah bilik ketika melakukan operasi bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, tinjauan di rumah pangsa lokasi Firdaus ditemui di Taman Semarak, Nilai mendapati pagarnya dikunci.