Seorang wanita warga Thailand maut selepas Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dinaiki bersama lima lagi ahli keluarganya hilang kawalan lalu terbabas di kilometer 400.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 2) Bukit Besi-Ajil kira kira jam 11 pagi Jumaat.

Insiden menyebabkan mangsa Jaruayporn, 33, berasal dari Pattani maut di tempat kejadian.

Lima lagi mangsa termasuk suaminya, Seman Che Lah, 41, yang memandu Toyota Estima turut mengalami kecederaan.

Ketika kejadian kesemua mangsa dari batu Berendam, Melaka menghala ke Batu Burok, Kuala Terengganu.

Sejurus tiba di lokasi, Toyota Estima yang dinaki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi pembahagi jalan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya tiga mangsa termasuk pemandu dikejarkan ke hospital Dungun manakala dua lagi mangsa dibawa ke hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.