Lapan individu yang terdiri daripada warden dan pegawai penjara ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang banduan baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 4 Oktober lalu itu, seorang banduan lelaki yang ditahan di Penjara Pusat Kepayan difahamkan ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Ellizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Dipercayai, lapan individu tersebut yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu telah ditahan polis pada petang Rabu (semalam).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan penahanan tersebut.

Bagaimanapun, penahanan kesemua individu berkenaan adalah bagi membantu siasatan kes.

"Ya, polis mengesahkan penahanan lapan individu tersebut namun ia bagi membantu siasatan kes itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 4 Oktober lalu, banduan tersebut ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan Penjara Pusat Kepayan sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

Bagaimanapun pihak HQE mengesahkan banduan terbabit meninggal dunia dengan bedah siasat awal mendapati ada terdapat kesan cedera di bahagian kepala dan badan yang disyaki kesan dipukul menggunakan objek tumpul.

Satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga banduan itu susulan kejadian berkenaan.

Untuk rekod, banduan tersebut itu ditahan di Penjara Pusat Kepayan atas kesalahan dadah.