Seorang warden sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat, Perlis, hari ini, dijatuhkan hukuman penjara 133 tahun serta 42 sebatan selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan membabitkan jenayah seksual terhadap lima pelajar lelaki, sekitar April.

Tertuduh, Nawawi Anuar, 28 tahun membuat pengakuan terbabit selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Terdahulu, tertuduh yang tiba di Mahkamah Sesyen Kangar sekitar jam 10 pagi didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang berusia antara 9 hingga 15 tahun yang juga pelajar tahfiz terbabit.

Bagaimanapun, Nawawi tidak membuat pengakuan bersalah atas tiga pertuduhan iaitu liwat serta menunjukkan video lucah kepada salah seorang mangsa yang berusia 11 tahun.

Dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memohon hukuman kebih berat kerana perbuatan tertuduh amat serius serta mendatangkan trauma kepada mangsa dan keluarga.


Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman dapat diringankan memandangkan Nawawi telah kematian bapa dan menyara ibunya yang juga seorang suri rumah.

Pendakwaan sebelum itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada, Mohd Izham Ali dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam YBGK iaitu Mohd Hapiz dan Nor Herdawati.

Kesemua pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(E) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017, selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan filem 2002.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan bagi serahan dokumen bagi tiga pertuduhan yang diminta untuk perbicaraan.