Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, ibu kota yang sentiasa sibuk sepanjang tahun, tiba-tiba bertukar lengang, seolah-olah mendapat 'cuti rehat' yang begitu dinanti-nantikan.

Puluhan ribu penghuninya meninggalkan kota raya ini, pulang ke kampung masing-masing untuk merebut peluang berseronok bersama keluarga di hari lebaran.

Tinjauan Bernama mendapati warga asing yang bekerja di sini pula tidak melepas peluang membanjiri 'ruang lompang' yang wujud di ibu kota terutama di tempat-tempat popular seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Pasar Seni, Puduraya dan lokasi ikonik, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), untuk pelbagai aktiviti.

Warga asing ini dari negara-negara Asia Selatan seperti Bangladesh, Nepal dan Pakistan serta dari negara jiran seperti Indonesia dan Myanmar, memang tidak pulang ke kampung halaman pada hari lebaran.

Ada yang keluar membeli-belah, ada yang bersiar-siar atau melepak secara berkumpulan.

Namun, dalam proses itu, mereka lupa mematuhi peraturan menjaga kebersihan ibu kota.

Tinjauan mendapati mereka membuang botol plastik dan sampah sarap merata-rata.

BACA: Kemasukan pekerja asing perlu dihentikan segera - Kulasegaran

Lebih menjijikkan ialah kemunculan tompok-tompok air liur kunyahan sirih di tepi-tepi jalan dan kaki lima oleh warga asing tertentu selepas berborak sesama mereka sepanjang malam di tempat-tempat rehat awam.

Seorang warga tempatan, Majid Adain, 58 tahun, berkata kawasan sekitar Bukit Bintang dipenuhi dengan plastik minuman yang dibuang merata-rata dan ini mencemarkan pemandangan.

"Sakit mata memandang sampah-sarap yang banyak terkumpul dan kesan kunyahan sirih selepas mereka melepak sepanjang malam. Kejadian serupa berlaku setiap kali perayaan Hari Raya atau hari-hari kelepasan am," kata tukang sapu sampah itu.

Seorang warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Yudi, turut kesal dengan sikap suka membuang sampah dan tidak menjaga kebersihan di kawasan tarikan pelancong dan berharap orang ramai terutama pelancong menjaga imej Malaysia sebagai negara bersih.

Sementara itu, Shamsudin Nordin, 50, yang berasal dari Kuala Lumpur, tidak melepaskan peluang untuk membawa isterinya yang berasal dari Medan, Indonesia untuk bersiar-siar pada hari kedua hari raya.

"Isteri saya teruja mendengar keindahan ibu kota ini dan saya menunaikan hajatnya untuk berjalan-jalan di hari ini. Tetapi saya sedih sebab apabila pergi ke Dataran Merdeka tadi, ramai warga asing yang membanjiri kawasan ini.

"Perkara ini menimbulkan ketidakselesaan kerana sering kali kita mendengar masalah sosial yang ditimbulkan oleh mereka.

"Mereka selalu berkumpulan jadi sedikit sebanyak saya risau dengan keselamatan diri sendiri dan juga pengunjung-pengunjung lain," katanya. -- Bernama