Warga asing yang mempunyai pasangan warganegara Malaysia yang sedang sakit atau berlaku kematian boleh memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk masuk ke negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu terpakai kepada semua individu warganegara asing termasuk yang memiliki visa pasangan.

"Kalau yang memegang visa pasangan, mereka boleh terus masuk ke negara kita terutama dari Singapura - mereka boleh terus masuk.

"Kalau mereka tidak mempunyai visa pasangan, mereka masih boleh mohon kepada JIM sekiranya berlaku kematian atau sakit, mereka boleh kemukakan bukti kalau isteri sakit di sini.

"Ada bukti sakit dari hospital dan benar isteri atau pasangan sedang dirawat dan dalam keadaan kritikal sebagainya, buktikan kepada JIM, insyaAllah JIM akan benarkan," katanya pada sidang media hari ini.