Seorang lelaki warga Australia dikhuatiri hilang di Taman Negara Mulu Miri.

Mangsa, Andrew Gaskell, 26, tidak dapat dikesan atau dihubungi rakannya sejak memasuki Taman Negara berkenaan sejak Jumaat lepas sehingga semalam.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat zon Miri, Law Poh Kiong, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.40 malam Rabu.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi kemudian dikerah ke lokasi kejadian.

Mereka tiba awal pagi hari ini mengunakan bot penyelamat yang mengambil masa 4 hingga 5 jam perjalanan.

Laporan kehilangan dibuat rakan mangsa, Kalang Anak Baling di Balai Polis Pusat Miri.

Mesej terakhir daripada mangsa yang diterima pada 20 Oktober lalu, memaklumkan bahawa mangsa akan pulang pada keesokan harinya, iaitu Sabtu lalu.

Namun sehingga kini, mangsa tidak dapat dihubungi.