Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Warga China catat pemohon paling ramai sertai Program Malaysia Rumah Keduaku

Warga China catat pemohon paling ramai sertai Program Malaysia Rumah Keduaku
Selepas warga China, permohonan terbanyak diperoleh daripada warga Jepun, Bangladesh dan United Kingdom. - Gambar fail
Warga China mencatatkan pemohon paling ramai untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan 11,820 permohonan diluluskan sejak program itu diperkenalkan pada 2002 hingga Jun tahun ini (2018), kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Rashidi Hasbullah.

Ini diikuti warga Jepun dengan 4,618 permohonan diluluskan, Bangladesh (4,108), United Kingdom (2,608), Republik Korea (2,069), Singapura (1,421), Iran (1,381), Taiwan (1,347), Pakistan (1,017) dan India (1,008) dalam tempoh yang sama, kata beliau.
Beliau berkata bandaraya yang menjadi pilihan utama pemohon MM2H yang berjaya ialah Kuala Lumpur diikuti oleh Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Melaka.

"Pemasaran yang agresif, cuaca yang baik, kos hidup yang berpatutan ialah antara faktor bagi jumlah permohonan MM2H yang diluluskan meningkat dengan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata beliau ketika merasmikan Bengkel Kebangsaan Malaysia Rumah Keduaku 2018 di sini hari ini.
Rashidi berkata Program MM2H mencatatkan sejumlah 40,000 permohonan dari 130 negara yang diluluskan sejak diperkenalkan pada 2002 hingga Jun tahun ini.

Program MM2H membolehkan warga asing yang memenuhi kriteria tertentu untuk tinggal di Malaysia selama mungkin dengan menggunakan pas lawatan sosial berbilang kemasukan. Pas lawatan sosial pada mulanya ialah untuk tempoh 10 tahun dan boleh diperbaharui.

Pemohon MM2H yang berusia 50n tahun ke atas perlu mempunyai simpanan tetap sebanyak RM150,000 sementara mereka yang berumur bawah 50 tahun mesti mempunyai deposit tetap berjumlah RM300,000. Selain itu, pemohon perlu menunjukkan pendapatan luar pesisir sebanyak RM10,000 sebulan.

Rashidi berkata jumlah permohonan MM2H yang diluluskan pada 2017 ialah 6,195, 2016 (3,347) dan 2015 (2,211).

"Tahun lepas. MM2H menyaksikan sejumlah besar peningkatan pemohon dari Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat," kata beliau.

Rashidi berkata untuk tempoh 2018 sehingga Jun, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 1,009.

Sementara itu, Pengarah Pusat Malaysia Rumah Keduaku Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail Aljafree menjangka jumlah peserta dari Jepun untuk program MM2H meningkatkan tahun ini berikutan wawasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghidupkan semula dasar Pandang ke Timur.

Long Stay Foundation dari Jepun mengakui Malaysia sebagai destinasiuntuk tempoh paling lama yang menjadi pilihan utama warga Jepun sejak 2006 untuk rekod 12 tahun berturut-turut, katanya.

-- BERNAMA