Usia yang sudah lanjut tidak menghalang seorang warga emas mengikuti perkembangan teknologi semasa dengan menjual rebung menggunakan medium Facebook.

Maarof Abdul Rahman, 71, sebelum ini menjual rebung ditanam sendiri di pasar malam di sekitar Baling, namun keadaan berubah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Dia tidak lagi dapat berniaga sedangkan rebung sudah boleh dituai di kebunnya, malah pendapatannya terjejas teruk kerana tiada sebarang jualan selama beberapa minggu.

"Idea untuk menjual secara dalam talian timbul apabila rebung yang saya tanam ini sudah matang. Kalau tidak dituai ia akan menjadi buluh dan tidak lagi boleh dimakan.

"Jadi, saya cuba iklankan di Facebook. Tidak sangka mendapat permintaan yang sangat menggalakkan. Saya menerima banyak tempahan, malah ada juga yang membuat tempahan awal sebelum rebung matang.

"Sekarang, saya ke kebun empat hingga lima kali sehari untuk memastikan semua rebung berada dalam keadaan baik dan tidak diganggu haiwan liar," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Maarof berkata, beliau menanam rebung berkenaan di kebun yang terletak tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Dalam Wang, Baling sejak dua tahun lalu.

Dia berkata, hasil jualan rebung di pasar malam selama ini menjadi sumber pendapatan utamanya.

Katanya, rebung yang belum diproses dijual dengan harga RM5 sekilogram, manakala yang sudah diproses dijual dengan harga RM7 sekilogram.

Sementara itu, Maarof berkata, pengumuman kerajaan untuk membenarkan semula perniagaan pasar malam pada 15 Jun nanti memberikan sinar baharu buat peniaga sepertinya untuk kembali beroperasi.