Gara-gara tidak mempunyai kunci rumah, seorang warga emas cedera apabila tertusuk jeriji pagar ketika cuba keluar dari rumahnya di Lorong Indah Borat, Sibu pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Wa Ai Hua, 72 tahun itu dikatakan memanjar pagar berkenaan untuk keluar dari rumah tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai tergelincir semasa melangkah sebelum dia tertusuk jeriji pagar berkenaan.

Susulan itu, mangsa mengalami cedera parah di paha kanannya sebelum diselamatkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii ketika dihubungi Astro AWANI berkata pasukan bomba berjaya memotong jeriji besi itu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang warga emas cuba diselamatkan selepas tertusuk jeriji pagar rumah di Lorong Indah Borat, Sibu pagi Khamis.