Warga emas dijumpai mati tertiarap, tangan diikat

Warga emas dijumpai mati tertiarap, tangan diikat
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan kedua-dua tangannya terikat di dalam bilik tidur. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dan tangan diikat dalam kejadian di Pangsapuri PKNS di Kampung Tasik Tambahan, Ampang petang Khamis.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 85 tahun dijumpai anak keduanya ketika pulang dari tempat kerja.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata anaknya yang berusia 61 tahun tinggal bersama wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

"Ketika kejadian, kami semua tidak mendengar sebarang jeritan di rumah berkenaan, namun kami dimaklumkan anaknya mengatakan ibunya sudah meninggal dunia."

Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan kedua-dua tangannya terikat di dalam bilik tidur.

Keadaan di rumah berkenaan turut berselerak dipercayai dilakukan suspek.

Menurut anak mangsa, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat barang berharga hilang atau tidak.

Kali terakhir mangsa dilihat pada Khamis ketika dia menyapu sampah di hadapan rumah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.