Penemuan mayat terapung di tebingan sungai Marudi pada Jumaat membongkar kisah kehilangan dua lagi remaja lelaki yang keluar memancing di jeti bot ekspres Marudi, Sarawak pada hari sama.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat berkenaan sekitar jam 8.10 pagi semalam.

"Kehilangan dua remaja berkenaan diketahui setelah orang awam menemui mayat Sujai Jaree, 72 tahun, dan menghubungi polis sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa," katanya kepada media hari ini.

Law berkata, menurut keluarga mangsa, Sujai bersama Mohd Alyeff Ong Mohd Zulkipli Abdullah, 14 tahun, dan Mohd Zafir Wasli, 12 tahun, telah pergi memancing di jeti berkenaan pada jam 6.30 pagi Jumaat.

Katanya, susulan maklumat yang diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pihaknya melalui teknik ‘surface searching’, menggunakan bot di sekitar radius satu kilometer.

 Pasukan SAR menemui mayat mangsa. - Foto JBPM

"Pencarian di sekitar tebing sungai turut dilakukan menggunakan kaedah ‘grappling iron’, memancing dan menjala," jelasnya.

Operasi katanya, turut disertai tujuh anggota pasukan Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng.

Operasi diteruskan pagi ini selepas ditangguh pada jam 6.30 petang semalam ekoran hari gelap.