Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan untuk ke kedai berhampiran rumahnya di Jalan Bukit Nangka, Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Mat Harun Sudin, 69, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, meletakkan motosikal Honda Wave ditungganginya di bahu jalan sebelum melintas untuk ke ke kedai runcit berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dirempuh sebuah motosikal Yamaha Nouvo LC dinaiki dua remaja perempuan berusia 16 tahun dari arah Padang Air ke Bukit Guntung.

Susulan kejadian itu juga penunggang dan pembonceng yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.


Sementara itu Ketua Jabatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.