Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh van Pos Malaysia Berhad ketika melintas jalan di Jalan Air Putih dekat Kampung Binjai Kemaman, pagi Rabu.

Ketika kejadian, mangsa sedang menghala ke rumah saudaranya di Kampung Batu 4 Binjai selepas menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi di kilometer 6, Jalan Chukai Air Putih di hadapan Masjid Kampung Binjai.

Mangsa, Zaharah Yahya, 72 tahun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketika kejadian van Toyota Hiace dipandu Paizam Azmi Mat Yaman dikatakan dalam perjalanan dari mengambil surat di pejabat pos Kampung Air Putih ke bandar Chukai.

Van terbabit dipercayai gagal dikawal selepas mengelak kenderaan di hadapan yang memberi isyarat membelok ke kanan.

Ia kemudianaya merempuh kereta Proton Waja dan Honda CRV terbabit sebelum melanggar mangsa yang melintas jalan.

Jenazah dihantar ke unit forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat .

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.