Seorang warga emas maut selepas diserang beruk peliharaannya dalam kejadian di Kampung Lebang Besar, Kuala Nerus pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Ngah Muhammad, 72 tahun, dikatakan bersendirian dengan beruk itu di belakang rumahnya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa beruk yang berusia lima tahun itu untuk memanjat pokok kelapa di belakang rumah.

Menurut anak mangsa, Aidil Adha Ngah, dia tidak menyangka kejadian yang menimpa bapa kerana beruk itu dipelihara sejak kecil.

“Saya dalam (perjalanan) dari Terengganu menghala ke Gua Musang ketika menerima panggilan telefon yang mengatakan ayah saya kena kekoh (gigit) oleh beruk dan meninggal dunia.

“Saya terus balik. Sempat tengok ayah yang kena kekoh (gigit) beruk itu, dengan luka di tangan. Beruk itu sebesar lengan dan dah dipelihara dari kecil hingga lebih kurang lima tahun,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini mangsa sudahpun memiliki empat atau lima ekor beruk, dan tidak pernah mengalami nasib seumpamanya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat kehilangan darah selepas pergelangan tangan kanannya digigit haiwan berkenaan.

Beruk itu kemudiannya turut menggigit leher anak mangsa, Mohd Zakaria Ngah, 29, yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas insiden berkenaan.

Ahli keluarga itu kemudiannya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangkap haiwan yang bertukar agresif itu.