Lelaki warga emas yang dibunuh bersama isterinya dan mayat mereka disumbat dalam beg pakaian, turut ditikam dan dikelar, sebelum suspek yang menaiki motosikal Honda EX 5 untuk membuang mayat kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata hasil bedah siasat terhadap mayat Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, mendapati terdapat tujuh kesan tikaman sekitar badan mangsa, selain kesan kelar di bahagian leher.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, suspek yang juga dua beradik warga India itu dipercayai membunuh Ah Kee pada malam 23 Ogos lalu sebelum membunuh isterinya, Tan Siew Mee, 52.

Baharudin berkata, siasatan awal juga mendapati, mangsa tinggal di rumah berkenaan sejak setahun lalu, manakala kedua suspek berusia 19 dan 24 tahun itu menyewa bersama lebih enam bulan lalu.

“Kejadian pertama kes bunuh, adalah ke atas si suami iaitu mungkin sebelum tengah malam 23 haribulan (Ogos), kedua, dua suspek telah mengambil tindakan mangsa yang dibunuh di jalan sekitar Putra Height.

“Kemudian apabila si isteri balik daripada kerja, kita percaya dan mungkin berlaku kekecohan dan pada waktu itu suspek telah membunuh si isteri pula dan mengambil tindakan yang sama (bunuh) di tempat yang ditemui iaitu di Seksyen 27 tapi kita temui mayat isteri dulu,” katanya dalam sidang media di IPD Shah Alam siang tadi.

BACA: Mayat wanita dalam beg: Ada 13 kesan tikaman di dada

Katanya lagi, kedua-dua suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Subang Jaya, dipercayai cuba melarikan diri ketika ditahan.

Seorang suspek ditahan hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang, manakala seorang lagi ditahan di Kota Kemuning.

Jelasnya, suspek menggunakan pisau lipat untuk menikam dan mengelar mangsa, selain menaiki motosikal Honda EX 5 ketika membawa mayat mangsa untuk dibuang.


Pagi tadi, dua suspek terbabit direman tujuh hari bermula hari ini oleh Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Isnin lalu, mayat Siew Mee ditemui dalam beg pakaian di sebuah parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, dekat sini manakala mayat Ah Kee, ditemui petang semalam di dalam longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah.