announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran rumah

Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran rumah
Punca kebakaran banglo dua tingkat itu serta nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. Gambar fail
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut, manakala tujuh anggota keluarga termasuk isterinya selamat dalam kebakaran di sebuah banglo dua tingkat di Kampung Selamat di sini, malam tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah berkata Yusuf Hassan, 74, dipercayai maut akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap di dalam bilik air ketika kebakaran itu.

Beliau berkata anggota keluarga termasuk isteri mangsa, Natrah Che Mat, 68, dan empat kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu bagaimanapun selamat, namun sebahagian daripada mereka melecur ringan di beberapa anggota badan.

"Mayat mangsa, ditemukan dalam bilik air tingkat bawah rumah itu. Kebakaran dipercayai bermula sekitar 11.45 malam di tingkat bawah rumah dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 40 peratus," katanya semasa dihubungi di sini, pada Khamis.

Mohd Zahar berkata, 18 anggota bomba yang diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api pada 12.12 tengah malam.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

- BERNAMA