announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Warga emas mengaku tidak bersalah memandu mabuk, hampir langgar polis

Warga emas mengaku tidak bersalah memandu mabuk, hampir langgar polis
Majistret Nur Azzuin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan sebutan kes ditetapkan semula pada 17 Julai depan.
BALIK PULAU: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Selasa atas empat pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk sehingga hampir melanggar anggota polis.

Lim Seang Joo, 63, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan Seang Joo didakwa memandu secara merbahaya dengan cuba melanggar dua anggota polis, berikutan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 bagi sabitan pertama manakala bagi sabitan kedua dan seterusnya boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Warga emas itu turut didakwa memandu ketika mabuk mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengeluarkan kata kata kesat, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu berdekatan pusat beli belah Queensbay Mall kira-kira jam 10.30 malam, pada 30 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Datin Punithawathi Arjunan.

Majistret Nur Azzuin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan sebutan kes ditetapkan semula pada 17 Julai depan.