Seorang warga Indonesia maut setelah keretanya bertembung dengan sebuah lori dalam nahas jalan raya di Kilometer 32, Jalan Beruas-Parit pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar 10.35 pagi dan mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa yang memandu kereta Proton Gen-2 menghala ke Parit telah memasuki laluan bertentangan ketika melalui satu selekoh dan bertembung dengan sebuah lori.

“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Mukid, 41, dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat.

Mohd Zainal berkata, pihak polis memohon waris atau kenalan mangsa tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dilakukan buat masa ini ,” katanya lagi.