Tutup

Warga kota pulang beraya, warga asing 'takluk' ibu kota

Warga kota pulang beraya, warga asing 'takluk' ibu kota
Ketika warga kota menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, ibu kota Kuala Lumpur pula dibanjiri warga asing pelbagai negara yang menyambutnya mengikut cara tersendiri. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menjadi kelaziman setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, warga kota akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya bagi mereka yang meraikan Syawal di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Warga asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar dilihat bertumpu di lokasi ‘hotspot’ seperti Pasar Seni, Plaza Kota Raya dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Walaupun berada di perantauan, kemeriahan sambutan lebaran tetap dirasai oleh warga asing yang tidak pulang ke kampung halaman.
Kamariah Mas Rupi yang telah 40 tahun merantau akui sudah menjadi suatu kebiasaan buatnya untuk beraya di Malaysia.

“Sudah 15 kali saya tidak beraya di kampung. Dahulu, saya selalu balik apabila orang tua saya masih ada.

“Mereka sudah tiada untuk 15 tahun dan oleh itu, saya juga tidak balik kampung dan menetap di sini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di ibu kota pada petang Khamis.

Namun, Kamariah akui rasa rindu untuk beraya di kampung tetap membuak-buak.

Ia hanya boleh diubati dengan melihat gambar-gambar yang dirakam sebagai kenangan.


“Memang rindu dan rasa rindu itu tidak boleh dinafikan kerana Indonesia tetap merupakan kampung halaman saya.

“Walaupun rindu, saya tetap berdoa dan sentiasa ingat yang terbaik.

“Di sini bumi Allah, di situ pun bumi Allah. Allah tempatkan saya di sini dan saya gembira,” tambahnya.

Berbeza pula buat warga Myanmar yang hanya ingin dikenali sebagai Zu.



Disebabkan peperangan dan ketidakstabilan politik di Myanmar, dia sudah tidak pulang beraya untuk beberapa tahun dan merindui isteri serta keluarganya setiap kali lebaran tiba.

“Isteri saya tidak dapat ke Malaysia dan saya tidak dapat pulang. Itu masalahnya.

“Terdapat peperangan di situ. Jika semuanya aman di situ, saya boleh pulang,” kata Zu.

Sementara itu, warga Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Mazidul berkata, dia sudah pulang berjumpa keluarga pada bulan Ramadan.

Namun, jauh di sudut hati dia amat berharap supaya kemeriahan Syawal dapat dinikmati di samping keluarganya di Pabna, Bangladesh.


“Tahun ini saya sudah pulang pada bulan Ramadan dan saya segan untuk meminta cuti lagi pada musim perayaan ini.

“Pada tahun hadapan, saya ingin pulang untuk beraya dengan keluarga saya,” ujarnya.

Biarpun tidak dapat pulang untuk beraya, Mazidul tetap berasa gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan senegaranya yang lain  di sekitar ibu kota.


Tag: warga asing, ibu kota, Hari Raya Aidilfitri, Syawal, Ramadan, Myanmar, Indonesia, Bangladesh, tinjauan, KLCC, Jalan Silang, Kota Raya, Pasar Seni



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.