Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang warganegara Malaysia tercedera dalam bencana letusan gunung berapi di White Island, New Zealand pada Isnin, 9 Disember 2019, pada jam 2.11 petang waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, mangsa berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington bagaimanapun masih belum menerima maklumat lanjut berhubung ‘seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan terkorban’ sebelum ini.

Pada awal pagi Selasa, seorang rakyat Malaysia dilaporkan maut dalam insiden letusan gunung berapi tersebut, dan khabar itu disahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand setelah dihubungi pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu, warganegara Malaysia yang terjejas atau berada di tempat kejadian adalah disarankan untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di alamat 10 Washington Avenue, Brooklyn, P.O. Box 9422, Wellington 6021 New Zealand.

Atau hubungi talian +64-4385 2439, +64-4801 5659 atau +64-210 440 188.