Seorang pekerja warga Nepal maut selepas dikatakan terjatuh ke dalam mesin tepung sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tasik di sini, pada Khamis malam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.47 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa warga Nepal berumur 37 tahun telah terjatuh ke dalam mesin penyejuk tepung.

“Mangsa juga disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, anggota bomba dan penyelamat telah mengeluarkan mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada 9.48 malam.