Sewaktu gempa bumi kuat melanda menggegarkan Nepal dan kawasan sekitarnya Sabtu lalu, kehidupan ramai mangsa terbabit juga turut berubah. Ketika laporan ini ditulis, angka korban telah mencecah lebih 4,000 orang.

Hari ini, selepas empat hari gempa berukuran 7.8 magnitud itu melanda negara yang terkenal dengan keindahan panoramanya, proses mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.

Pendatang Nepal yang berada di negara ini tentunya antara yang merasai kesan secara langsung apabila mengenangkan nasib keluarga dan orang tersayang yang masih belum diketahui.

Ramai yang resah menunggu khabar anggota keluarga dan sahabat handai. Ada juga yang tidak tertanggung lagi keresahan mereka.

Chandra Sarki, 22, meninggalkan kampung halamannya di daerah Sidhuli, Janakpur; yang merupakan sebuah kawasan kejiranan yang begitu kompetitif dalam perjuangan merebut tempat untuk mencari rezeki; berhijrah ke Malaysia demi masa depan yang lebih terjamin.

Chandra Sarki
Sharki (kiri) masih menanti berita daripada keluarganya - Foto Astro AWANI/Sathesh Raj

Sharki cuba menghubungi keluarga dan rakan-rakannya di kampung sebaik mendengar tentang berita gempa bumi tersebut, namun kecewa kerana masalah sistem perhubungan dan komunikasi yang terganggu menghambat usaha mereka.

BACA: Angka korban meningkat kepada 4,310 orang

BACA: Rakyat Malaysia kongsi pengalaman keluar dari Kathmandu

FOTO: Doa untuk Nepal

FOTO: Runtuhan salji Everest

FOTO: Malapetaka gempa bumi Nepal

Berbeza pula dengan Bishnu Giri, 28, yang mendapat khabar ibunya antara yang terkorban dalam malapetaka dahsyat itu. Giri berhijrah ke negara ini tidak lama dahulu, dengan harapan yang sama; memberikan keluarganya masa depan yang lebih baik.

Namun kini harapannya musnah, dan Giri masih sedang cuba untuk menerima hakikat yang ibunya sudah tiada.

"Abang saya pada mulanya memberitahu ahli keluarga kami terselamat ketika saya menghubunginya sebaik sahaja mengetahui tentang gempa tersebut, remuk hati saya mendengar khabar itu," kata Giri.

Giri ketika ditemui Astro AWANI memberitahu ternakan dan harta benda keluarga juga turut musnah.

Nabaraj BK
Nabaraj (kanan) kehilangan isteri, anak dan ibu bapanya dalam gempa Sabtu lalu. - Foto Astro AWANI/Sathesh Raj

Nasib Nabaraj BK, 34, pula lebih menyayat hati apabila dia kehilangan isteri, anak serta ibu dan bapanya dalam tragedi ini. Nabaraj sudah menetap di negara ini sejak tahun 2006 dan tidak pernah pulang semenjak itu. Kini satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal adalah abang iparnya.

Nabaraj memberitahu dia merancang untuk pulang ke Nepal namun perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.

Lapangan Terbang Tribhuvan di Kathmandu yang ditutup sebelum ini telah pun dibuka semula untuk memudahkan proses mencari dan menyelamat.

Bantuan antarabangsa mula tiba mencurah-curah, termasuk dari organisasi sukarelawan antarabangsa yang menawarkan pelbagai khidmat mencari dan menyelamat; dari anjing pengesan hinggalah hospital bergerak.

Tinggi harapan ahli keluarga mangsa di negara ini agar sistem komunikasi dapat dipulihkan segera untuk memudahkan mereka menghubungi sesiapa sahaja yang dikenali di tanah air mereka.

Masalah bekalan tenaga elektrik yang terhad akan menjadi lebih rumit dengan masalah kekurangan bekalan air. Malah menurut laporan kumpulan penyelamat, bekalan ubat-ubatan juga semakin berkurangan.

Helen Szoke, Ketua Eksekutif organisasi bantuan Oxfam dari Australia memberitahu AFP, sistem komunikasi kini sesak dan hospital juga semakin kekurangan tempat.

Dengan proses mencari dan menyelamat masih berterusan, angka korban dijangka akan terus meningkat.

"Jumlah mereka yang tercedera kini mencecah 6,500," kata Rameshwor Dangal, yang mengetuai Divisyen Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Kumpulan penyelamat berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan jumlah bantuan namun laluan jalan raya yang terhalang, bekalan tenaga yang terjejas dan hospital yang sesak membuatkan keadaan bertambah teruk.

Helikopter juga mula digunakan untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di Gunung Everest, dengan 18 orang dilaporkan terkorban di puncak tertinggi di dunia itu.

Tiga helikopter dilaporkan telah dihantar untuk operasi menyelamat 150 pendaki yang terperangkap di Kem 1 dan Kem 2, apabila runtuhan ais dan salji menghalang laluan mereka untuk turun ke kem induk di kaki gunung.