Seorang lelaki warga Perancis dikhuatiri maut selepas terjatuh ke dalam gaung ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Tabur, Selangor.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis kejadian berlaku pada 3.58 petang, pada Rabu.

"Mangsa berumur 26 tahun, mendaki bersama seorang kawan perempuannya sebelum kejadian berlaku.

"Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Wangsa Maju, dan Pasukan Storm dalam proses membawa turun mangsa yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.45 petang," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurut JBPM Selangor, kejadian berlaku pada 3.58 petang, Rabu. - Foto JBPM

Mangsa dikenali sebagai Martin Simon Nathan manakala rakannya dikenali sebagai Kelly Lynn Drai dari Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Norazam berkata pihaknya menghadapi cabaran membawa turun mangsa disebabkan laluan curam 45 peratus dan keadaan bertambah gelap.

"Pemeriksa awal juga mendapati mangsa tidak mempunyai nadi denyutan namum belum disahkan pegawai perubatan.

"Anggota bomba dijangka membawa turun mangsa sekitar pukul 3 pagi nanti," jelas beliau.