Warga Syria, Hassan Al Kontar, 36, yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lalu, ditahan polis.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Hassan ditahan pihak polis pada Isnin kerana berada di ‘kawasan yang dilarang’ di klia2.

“Kesemua penumpang dengan pas penerbangan sah harus menaiki pesawat, namun lelaki ini tidak menaiki pesawat. Malah beliau berada di kawasan larangan.

"Sehubungan itu pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa.

Mustafar berkata Hassan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas polis menyelesaikan siasatan.

“Kita perlukan pengesahan terhadap segala perkara yang beliau dakwa, iaitu kononnya beliau akan direkrut menjadi askar jika beliau pulang ke Syria,” katanya.

Situasi Hassan mula menjadi bualan orang ramai apabila videonya bercerita situasi dihadapi, tular di media sosial beberapa bulan lalu.

Susulan itu ia menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media termasuk media antarabangsa.