Seorang lelaki Thailand yang membawa masuk karkas dipercayai daging babi ke negara ini ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang.

Lelaki berusia 45 tahun itu, yang membawa karkas dipercayai daging babi sejuk beku seberat 17 kilogram (kg), ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABPP) pada Rabu.

MAQIS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lelaki itu telah membawa masuk produk daging babi walaupun larangan membawa masuk telah dikeluarkan oleh kerajaan kerana isu penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) dari beberapa negara seperti China, Vietnam, Laos, Belgium dan Thailand.

Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus ASF ke negara ini.

Menurut kenyataan itu, selain daripada larangan pengimportan, kemasukan daging babi dan produk yang berasaskan babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang.








Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.