Anak pasangan suami isteri yang maut dihempap kren pencucuk besi Jumaat lalu memaafkan pemandu jentera berkenaan selepas mengadakan pertemuan pertama dengan pihak syarikat pembinaan berkenaan petang tadi.

Anak sulung mangsa, Muhamad Zahidin Abd Rahman, 32, berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa kedua-dua orang tuanya, namun beliau dan keluarga menganggapnya sebagai satu suratan takdir.

"Kami akhirnya berjumpa dengan pemandu kren pagi ini di pejabat West Coast Expressway (WCE). Walaupun sedih dengan apa yang menimpa bapa kami, namun kami menerima permohonan maafnya kerana ia adalah ketentuan Tuhan," katanya semasa di selepas sesi pertemuan itu di Kota Kemuning, di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, pihak syarikat pembinaan itu turut menyerahkan sumbangan kepada ahli keluarga mangsa selain berjanji akan menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan.

"Terima kasih kami ucapkan dengan perbincangan serta kerjasama daripada syarikat WCE ini, yang banyak membantu kerana bebanan yang kami alami. Pengarah Urusannya sendiri ada bersama membincangkan keadaan kami," ujarnya.

Beliau pada masa sama, berharap semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

"Kami harap dengan kenyataan ini, orang ramai dan pihak media memberi kami ruang untuk melalui saat-saat sukar ini secara tenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan," ujarnya.

Sementara itu, peguam keluarga mangsa, Mohd Fadly Hashim berkata, perbincangan antara kedua-dua belah membuahkan hasil yang memuaskan.

"Pengarah Urusan WCE telah menghulurkan sumbangan peribadi wang tunai dan juga daripada syarikat. dan menyatakan apa sahaja bantuan diperlukan keluarga mangsa mereka akan bantu," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Abd Rahim Abd Rahman, 51, dan isterinya Nurhayati Rosli, 46, maut apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap jentera pencerucuk besi yang tumbang ketika melalui jalan di Bandar Bukit Raja, Klang.