Kecewa dan hampir berputus asa, mungkin itu sebahagian kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan hampir keseluruhan waris pencipta lagu Negaraku serta lagu rasmi negeri Selangor dan Melaka, Allahyarham Saiful Bahri Ilyas yang lebih 20 tahun memperjuangkan hak mendapatkan royalti serta pengiktirafan buat komposer berbakat itu.

Perjuangan menuntut hak itu dimulakan oleh isteri Saiful Bahri, Allahyarham Noraini Ahmad pada tahun 1992 selepas melihat terdapat pihak-pihak yang cuba 'mengacau' karya asal dihasilkan suami serta seolah-olah menidakkan hak pencipta di sebalik karya tersebut.

Pelbagai usaha dilakukan Noraini khususnya dalam menuntut hak royalti bagi dua lagu ciptaan suaminya iaitu lagu rasmi negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia serta lagu rasmi negeri Melaka, Melaka Maju Jaya dengan menemui pimpinan kerajaan bagi kedua-dua negeri itu, namun tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, usaha itu terhenti seketika selepas Noraini meninggal dunia pada 21 Disember 1999, sebelum diteruskan oleh anak-anaknya pada tahun 2000.

Qus Nafiah, 46 dan Nurul Adzan, 44 ketika ditemui berkata, pada tahun 2000 mereka meneruskan usaha ibu dengan membuat semakan terus ke Bahagian Kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) bagi mengetahui perkembangan atau status tuntutan itu.

Qus Nafiah berkata, tiada jawapan diterima, namun ia tidak mematahkan semangat dia dan adiknya untuk terus menghantar pelbagai surat serta emel kepada pihak berkaitan termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada 2017 serta Adun Sungai Tua, Amirudin Shari (kini Menteri Besar Selangor) bagi mendapatkan jawapan.

"Daripada surat-surat dihantar, saya hanya terima satu surat jawapan daripada Amirudin sebelum berpeluang untuk berjumpa dengannya pada 16 Januari lalu.

"Daripada pertemuan itu, saya dan adik-beradik lain seolah-olah mendapat satu harapan baru kerana maklum balas diberikan sangat baik," katanya yang hadir ke Pejabat Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf Seksyen 15, di sini.

Kakitangan swasta itu berkata, Amirudin turut meminta dia dan keluarga menyatakan bentuk pengiktirafan serta jumlah imbuhan atau royalti yang hendak dituntut bersesuaian dengan penat lelah bapa menghasilkan karya tersebut.

"Susulan itu, saya hantar surat pada 17 Januari lalu bagi memaklumkan secara rasmi permintaan kami termasuk nilai dituntut dan surat terakhir adalah pada 20 Julai lalu.... Namun sehingga ke hari ini, tiada maklum balas diterima walaupun Amirudin kini sudah menjadi menteri besar.

"Saya dan adik (Nurul Adzan) sudah cuba pelbagai cara hantar surat, emel termasuk berhubung menerusi Instagram beliau (Amirudin) tapi masih tidak berjaya. Kami penat dan hampir putus asa tapi memikirkan ini bukan usaha sehari dua tapi sudah hampir 26 tahun, kami teruskan jua demi mendapatkan keadilan buat bapa kami," katanya.

Qus Nafiah berkata, tuntutan dibuat bukan semata-mata untuk royalti tapi ada perkara lain yang dia serta adik-beradiknya harapkan.

Saiful Bahri. Foto Sinar Harian

"Pertama kita mahu pengiktirafan diberikan kepada arwah bapa. Walaupun beliau bukan warganegara tapi sudah banyak lagu yang dihasilkan iaitu Negaraku, lagu rasmi Selangor dan Melaka, lagu untuk Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), Samudera, Barisan Kita, Angkatan Laut, Berjaya dan banyak lagi...Saya percaya sehingga kini, kalau ditanya pada rakyat Malaysia, pasti mereka tak tahu siapa pencipta di sebalik lagu ini.

"Kami harap bukan hanya karya-karya bapa diangkat tapi mahu orang juga mengenali siapa beliau dan mengiktiraf beliau...Kedua, royalti yang kita tuntut kerana ia adalah hak bapa dan wajar diperoleh," katanya memberitahu lagu Duli Yang Maha Mulia dicipta bapanya atas permintaan dan perkenan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1966.

Qus Nafiah berkata, harapan dia serta adik beradik lain agar pihak kerajaan negeri Selangor serta Melaka dapat memberi jawapan terhadap tuntutan yang dibuat selama ini dan memohon untuk bersemuka agar usaha yang dilakukan selama ini menemui penghujungnya.

"Jika masih tiada penyelesaian, mungkin kita terpaksa mengambil tindakan lain dengan membawa perkara ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, disebabkan kurang pendedahan berhubung siapa Saiful Bahri, Qus Nafiah berkata, banyak kisah mengenai bapanya ditulis tanpa fakta yang betul.

"Umpamanya terdapat sebuah buku bertajuk Rosalie yang menghimpunkan koleksi cerita karyawan termasuk Tan Sri P Ramlee dan Saiful Bahri. Apabila dibaca, sebahagian daripada cerita mengenai arwah bapa kami ditulis dengan salah, malah kita juga kesal apabila penulis mendakwa maklumat ditulis adalah hasil temubual bersama kakak sulung, Nora Savitri, 50.

"Sedangkan hakikat sebenar, penulis tidak pernah menemubual langsung untuk mendapatkan maklumat tersebut. Malah kami hanya mengetahui tentang penerbitan buku itu apabila buku sudah diterbitkan," katanya.