Wartawan veteran Datuk Ahmad A. Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya sekitar jam 5.42 petang Selasa selepas bertarung dengan penyakit barah hati yang didiagnosis sebelum Ramadan lalu.

Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Sophia dalam satu status Facebook yang dimuat naik sejurus selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

Allahyarham, 69, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai di ibu negara untuk menerima rawatan barah sebelum bulan Ramadan.

"Allahyarham dipindahkan ke PPUM pada hari raya pertama untuk menerima rawatan rapi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Muqarobbin di Bandar Tasik Selatan untuk disempurnakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kem Sungai Besi pada petang Selasa.

Ahmad Talib pernah berkhidmat di New Straits Times Press (NSTP) dan dilantik sebagai pengarah eksekutif, Meja Berita dalam Lembaga Pengarah NSTP pada 1 Julai 2009 dan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia.

Allahyarham pernah bekerja sebagai wartawan dengan Bernama pada tahun 1972; Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) (1978) dan Berita Harian (1985). Beliau turut memulakan Travel Times, Cars, Bikes dan Trucks.

Allahyarham pernah menyandang jawatan Penolong Pengarang Berita Harian (1987); Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan (1991-1996). Seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times (1998) ; Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial (2004).

Pada tahun 2005, Allahyarham mengumumkan persaraannya daripada Kumpulan NSTP.

Allahyarham pernah diberi tanggungjawab menjadi moderator dalam beberapa rancangan di Media Prima Berhad termasuk Soal Jawab di TV3.

Allahyarham mempunyai isteri, Datin Norsimah Daud dan empat orang anak.