Tutup

Waspada juadah eksotik Aidilfitri

Waspada juadah eksotik Aidilfitri
Kesemua 13 spesies periuk kera yang bertaburan di Semenanjung Malaysia dicadang diwartakan sebagai tumbuhan yang dilindungi bagi mengelakkan eksploitasi melampau oleh masyarakat. - Foto IUCN Redlist/Charles Clarke
HARI Raya Aidilfitri kini hampir tiba setelah hampir sebulan kita berjihad melawan hawa nafsu, lapar dan dahaga.

Umat islam digalakkan menyambut hari kebesaran ini dengan penuh gembira sempena meraikan kejayaan kita menghayati bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Sambutan Aidilfitri di negara ini sinonim dengan kepulangan sanak saudara dari kota ke desa, berhimpun sanak saudara dengan pakaian warna-warni, berwangian dan bergaya di pagi hari raya.

Pelbagai menu juadah enak juga pasti sudah dirancang untuk dihidang dan pastinya menimbulkan kejanggalan untuk kita menjamu selera di pagi hari setelah sebulan tidak berbuat demikian.
Penantian Aidilfitri ini diselangi dengan persediaan pakaian, hiasan rumah dan makanan yang terbaik dan pastinya hendak kita banggakan apabila tetamu hadir mengeratkan silaturrahim.

Dalam keterujaan ini, juadah eksotik yang disediakan sebagai hidangan Aidilfitri cukup membimbangkan di kalangan masyarakat Malaysia.
Antara yang paling popular pada musim perayaan ini ialah lemang periuk kera dan rendang daging hidupan liar eksotik seperti rusa, kijang dan landak.

Lemang periuk kera merupakan lemang yang dimasak di dalam pokok periuk kera atau secara saintifiknya dikenali dari genus Nepenthes.

BACA: Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Tumbuhan Nepenthes mempunyai pelbagai nama tempatan di Malaysia iaitu periuk kera (Melayu Semenanjung Malaysia), somboi-somboi (Melayu Brunei), tetuyud (Melanau, Sarawak), entuyud (Iban, Sarawak) dan kekuanga (Dusun, Sabah).

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan karnivor iaitu tumbuhan yang berupaya memerangkap haiwan kecil terutamanya serangga seperti semut, belalang, lipas, anai-anai dan lalat di dalam kantung yang terbentuk pada hujung salur paut daunnya.

Baru-baru ini, sebuah akhbar nasional berbahasa Inggeris melaporkan bahawa terdapat sebuah kumpulan di negeri Johor yang menyasarkan untuk mencari 140,000 periuk kera untuk dibekalkan ke kawasan lain di Semenanjung Malaysia disebabkan permintaan yang sangat tinggi di musim Aidilfitri! 

Professor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad yang merupakan pakar botani yang sangat dihormati di negara ini telah memberikan maklum balas melalui hantaran facebooknya yang tular menyatakan kekecewaan beliau membaca berita ini.

Beliau menyarankan supaya kesemua 13 spesies periuk kera yang bertaburan di Semenanjung Malaysia diwartakan sebagai tumbuhan yang dilindungi bagi mengelakkan eksploitasi melampau oleh masyarakat.

Perkara ini mendapat respon segera dari Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Borhanuddin Arshad yang telah mengarahkan pemantauan terhadap aktiviti pencerobohan yang melibatkan pengutipan hasil hutan secara haram yang boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

Jika didapati bersalah maka individu tersebut boleh dikenakan denda RM 10,000 atau penjara maksimum selama tiga tahun.

Jika kehilangan spesies periuk kera dari hutan kita yang mempunyai fungsi ekologi yang penting ini tidak mampu menyentuh perasaan dan mendatangkan kesedaran, tahukah anda penggunaan periuk kera ini mempunyai bahayanya yang tersendiri?

Satu spesies periuk kera di Brunei iaitu Nepenthes rafflesiana dilaporkan mempunyai interaksi mutualistik bersama sejenis kelawar yang mana kelawar tersebut menggunakan ruang di dalam periuk kera sebagai tempat perlindungan, manakala periuk kera ini mendapat nutrien atau makanan dari najis kelawar itu sendiri!

Walaupun penemuan ini dijumpai di Brunei, tetapi spesies periuk kera Nepenthes rafflesiana ini juga terdapat di Semenanjung Malaysia dan tidak mustahil mempunyai interaksi yang sama dengan kelawar di sini.

Interaksi mutualistik antara kelawar Kerivoula hardwickii yang dikeluarkan dari periuk kera Nepenthes rafflesiana. Foto - Holger F. Bohn/National Geographic

Dr Jayaraj Vijaya Kumaran dari Universiti Malaysia Kelantan yang merupakan penyelidik mamalia kecil menyatakan bahawa kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengkaji fenomena interaksi yang menarik ini di Malaysia sambil menyatakan air kencing dan najis mamalia ini boleh bertindak sebagai agen penyebaran penyakit seperti leptospirosis kerana telah ada kajian yang menunjukkan kehadiran kuman ini dalam najis dan air kencing kelawar.

Selain dari kelawar, tupai dari spesies Tupaia montana juga dikatakan mempunyai interaksi yang sama dengan dengan periuk kera. Dr Jayaraj menambah lagi bahawa Tupaia ini jika dibuat autopsi, lazimnya pasti dijumpai cacing di dalam usus, hati dan jantung, manakala kulitnya pula mempunyai banyak ektoparasit.

Komuniti dan kepelbagaian bakteria dalam periuk kera juga adalah satu misteri yang belum dikaji, dan disyorkan supaya langkah berjaga-jaga diambil jika sumber ini ingin dieksploitasikan kerana kemungkinan risiko penyebaran penyakit baru yang belum ditemui.

Selain dari periuk kera, pakar mamalogi (kajian haiwan mamalia) Malaysia, Professor Dato’ Dr Mohd Tajuddin Abdullah dari Universiti Malaysia Terengganu dan Professor Dr Badrul Munir Md Zain dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang banyak menjalankan kajian penggunaan daging hidupan liar di Malaysia senada dalam menyatakan kerisauan terhadap menu rendang daging hidupan liar.

Antara hidupan liar yang gemar dijadikan rendang ialah rusa, kijang, landak, kancil, ayam hutan dan pelanduk! Jawapan yang diratib terhadap pertanyaan dari mana datangnya daging tersebut ialah dengan mudah mengatakan dibeli dari ladang rusa, landak dan lain-lain.

Persoalan disini, bagaimana kita hendak memastikan kesahihan bahawa benar daging yang dibeli dengan harga melampau dan dijual secara sembunyi-sembunyi itu benar dari ladang?

Mendengar dibeli dari ladang, kita pun dengan yakin memuat naik juadah luar biasa itu dengan pelbagai tanda pagar atau hashtag yang menarik perhatian sebelum membaca doa makan lagi.

Penting untuk kita mengetahui bahawa tidak semua hidupan liar ini dibenarkan diternak, diburu atau dimakan mengikut Akta Hidupan Liar 716!

Bermula dengan merasai hidangan rendang eksotik ini di rumah orang, menjadikan kita pula teringat-ingat keenakan daging ini yang kononnya lebih enak dari daging ‘biasa’.

Tuan rumah secara tidak langsung telah berjaya mempromosi budaya negatif yang menggugat kestabilan populasi hidupan liar yang sememangnya sudah terancam dengan pelbagai isu seperti kemusnahan habitat dan pemburuan haram.

Tidak cukup dengan itu, ada pula di kalangan kita yang lebih suka daging haiwan liar yang ditangkap dari hutan berbanding dibeli dari ‘ladang’ kerana kononnya lebih manis berlemak berbanding yang diternak.

Nah di sini jelas sifat pemusnah manusia yang menyebabkan industri pemburuan hidupan liar tidak dapat dihentikan oleh pihak berkuasa kerana permintaan yang berterusan dari masyarakat.

Penggunaan daging hidupan liar eksotik ini boleh menjadi punca transmisi penyakit bukan hanya terhadap individu yang memakan daging tersebut, juga kepada pemburu, pengedar dan penjual yang bersentuhan dengan daging tersebut.

Tidak mustahil parasit, bakteria dan virus yang masih belum didokumenkan sepenuhnya di dalam haiwan-haiwan ini boleh menjadi pembunuh senyap dan menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit di kalangan masyarakat.

Jika penggunaan periuk kera dan hidupan liar ini hendak digunakan secara serius, maka ia mestilah dijalankan berasaskan kajian seperti kajian risiko penyakit berjangkit dan teknologi kultivasi serta penternakan bagi organisma ini.

Kerajaan juga perlu menetapkan badan yang dibenarkan sahaja untuk mengedar dan menjual produk-produk ini untuk menyelesaikan kekeliruan masyarakat mengenai kesahihan dan keselamatan makanan yang dibeli selain memastikan tidak timbul isu pengutipan hasil hutan dan pemburuan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Walaubagaimanapun, penulis merasakan cukuplah dengan lambakan menu yang lebih terjamin selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar yang terdapat di Malaysia untuk kita nikmati di Hari Raya Aidilfitri.

Jika ada yang mengatakan sudah menjadi tradisi untuk meraikan Aidilfitri dengan juadah eksotik ini, maka mari sama-sama kita meneruskan perjuangan Ramadan yang mengajar kita menahan hawa nafsu dan terus berpuasa selama-lamanya dari makanan yang bukan sahaja boleh membahayakan diri, malah menjejaskan kefungsian ekologi dan alam sekitar.




* Penulis ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: Juadah Eksotik, Aidilfitri, Perhutanan Semenanjung Malaysia, periuk kera, Nepenthes, Abdul Latiff Mohamad



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.