Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

WKB 2030 merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Ia adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020, mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Wawasan Kemakmuran Bersama dicadang dan dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Masa Depan Malaysia (MASA) pada September 2018.

"Dan beberapa dasar umum telah saya perkenalkan dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke- 11 pada 18 Oktober 2018.

“Konsep ini seterusnya dikembangkan dan diperdalami dan dibentangkan dalam pemukiman komponen parti Pakatan Harapan pada 9 Mac 2018 dan telah diterima secara prinsip.

"Setelah dikemaskini, kerangka gagasan ini telah saya umumkan dalam ucapan ulang tahun Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019,” katanya ketika berucap melancarkan wawasan tersebut di sini, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi telah dipertanggungjawab untuk melengkap dan menyediakan WKB 2030 dan ia telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 14 September 2019.

WKB 2030 akan dimulakan seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 yang akan diumumkan tidak lama lagi dan akan menjadi titik permulaan supaya ia dapat dilaksana sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 kelak.

“Alhamdulillah pada 18 September yang lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menerima Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai hala tuju Negara bagi tempoh 2021-2030.

“Selepas ini, wawasan akan diterjemahkan kepada strategi dan tindakan yang akan dijajarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diumumkan pada tahun hadapan,” tambahnya.

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan beri suntikan baharu kepada ekonomi negara

WKB 2030 menetapkan 3 objektif utama iaitu:

1. Pembangunan untuk semua bagi mewujudkan ekonomi yang distruktur semula, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

2. Menangani jurang kekayaan dan pendapatan supaya rakyat yang ketinggalan dapat dibawa bersama dalam arus kemajuan negara, nasib mereka terbela dan keupayaan ekonomi mereka diperkasakan.

3. Negara bersatu, makmur dan bermaruah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.