Menteri di Jabatan Perdana Menteri P.Waytha Moorthy pada Khamis menggesa Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memohon maaf secara ikhlas berhubung kenyataan beliau mengenai abu suci, di Parlimen baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di sini Waytha Moorthy berkata Tajuddin sepatutnya lebih tahu mengenai keseriusan kenyataan beliau kepada Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer itu.

"Abu itu adalah sesuatu yang suci dan murni bagi kaum Hindu di seluruh dunia. Untuk memahami penuh amalan-amalan keagamaan lain-lain kaum dan kepercayaan mereka, ia adalah satu kemestian bagi seorang yang memikul tanggungjawab sepertinya," katanya.

Sementara itu Waytha Moorthy turut menuntut Tajuddin supaya memohon maaf secara terbuka kepada Rayer dan juga komuniti India dengan segera, dalam semangat rakyat Malaysia yang sebenar.

Beliau turut menyokong tindakan yang diusulkan oleh Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran untuk merujuk Tajuddin kepada jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung perkara itu.

"Penghinaan kepada mana-mana agama atau kumpulan etnik seharusnya tidak dituturkan dalam Malaysia Baharu terutama oleh seorang Ahli Parlimen yang benar-benar berpengalaman seperti ahli parlimen Pasir Salak. Apa pun saya harap beliau memohon maaf kepada semua kaum Hindu di Malaysia, terutama kepada Rayer dengan ikhlas," tambahnya.

Selasa lepas media melaporkan Tajuddin digantung selama dua hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selepas beliau berkali-kali bertanya kepada Rayer sekiranya dia memakai abu Chin Peng pada dahinya.

-- BERNAMA