Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19.

Jelasnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedeos Adhanom Ghebreyesus dalam satu telesidang bersamanya pada petang Selasa.

“Pada telesidang tersebut, Dr Tedros memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan COVID-19.

“Pihak WHO mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan aktiviti Influenza Survelan dengan menjalankan ujian COVID-19 kepada pesakit Jangkitan Pernafasan Akut (SARi),” katanya dalam sidang media pada Selasa di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya.

Tambah Dzulkefly, pihak kementeriannya akan terus bekerjasama dengan WHO dan pihak terlibat dalam menangani wabak itu.

Sementara itu, mengulas berkenaan tularnya sebuah video menunjukkan perselisihan faham antara pesakit dan doktor perubatan di Negeri Sembilan baru-baru ini, jelas Dzulkefly, pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak perkara sama daripada berulang.

Terdahulu, video yang dimuat naik seorang pengguna Facebook itu antara lain memaparkan pertengkaran antara doktor yang bertugas dengan pesakit.

Ia dipercayai akibat ketidakpuasan hati berhubung perkhidmatan di salah sebuah Klinik Kesihatan di Seremban.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNSS) dalam satu kenyataan memaklumkan isu terbabit telah diselesaikan melalui runding cara kedua-dua pihak.

Orang ramai diminta tidak membuat apa-apa andaian terhdaap mana-mana pihak terlibat serta mendapatkan maklumat rasmi daripada KKM.