Tutup

WHOLE Penang 2020 bantu capai 30 juta pelancong sempena TMM2020

WHOLE Penang 2020 bantu capai 30 juta pelancong sempena TMM2020
EXCO Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin pada pelancaran WHOLE 2020.
GEORGE TOWN: Pameran dan Persidangan Dunia: Hospitaliti, Gaya Hidup dan Hiburan atau WHOLE PENANG 2020 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen & Arena SPICE Bayan Baru tahun depan, dilihat menjadi pelengkap kepada kempen ‘Experience Penang Year 2020’ bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Pameran yang dijadualkan selama 3 hari bermula 10 sehingga 12 September 2020 disasar membawa 350 pempamer domestik dan luar negara di bawah satu bumbung.
Bukan itu sahaja, WHOLE PENANG 2020 juga mensasarkan 25 pavilion antarabangsa termasuk dari Australia, Austria, Belgium, Singapura, Thailand dan Vietnam yang mempunyai pengalaman serta kedudukan yang kukuh dalam penerokaan pasaran hotel, restoran dan katering (HoReCa).

WHOLE PENANG 2020 diwujudkan bagi mewakili sektor mesra-tamu secara keseluruhan. Ia dibahagikan kepada 5 kategori iaitu makanan, penyediaan makanan, teknologi makanan dan peralatan, tempat tinggal dan penginapan, kembara dan pelancongan, gaya hidup dan hiburan serta kesihatan.
Selain membuka peluang kepada penerokaan perniagaan, pengukuhan kepada jaluran inisiatif, memperkasakan hubungan dua hala dalam perniagaan, penganjurannya juga diharap dapat meningkatkan perkongsian dan pertukaran informasi, idea dan kepakaran.

"Penganjuran acara antarabangsa ini meningkatkan pengiktirafan global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan perniagaan utama. Di samping itu, ia memberi kesan positif kepada pelbagai komponen sampingan seperti penginapan, katering, logistik, pengurusan peristiwa serta peningkatan tumpahan bagi pelancongan riadah.

"WHOLE PENANG 2020 akan membantu kita mencapai sasaran 30 juta pelancong yang ditetapkan untuk Tahun Melawat Tahun 2020. Dianggarkan kira-kira 10,000 ahli perniagaan akan terbabit dalam acara ini," kata EXCO Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin, selepas pelancaran WHOLE 2020, pada Isnin.

Antara acara menarik yang dijadualkan dalam WHOLE PENANG 2020 ialah demonstrasi oleh selebriti chef, aktiviti anjuran pavilion kolej kulinari dan pelancongan, e-wallet, kenali chef muda, aktiviti industri spa dan kecantikan serta program bisnes kepada bisnes B2B.