Wisma Putra sudah memulakan langkah awal 'merakyatkan' kerangka Dasar Luar untuk Malaysia Baharu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata langkah awal itu melibatkan usaha mengumpulkan maklum balas daripada pemegang taruh dan memberi penerangan kepada umum.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan dasar berkenaan dapat difahami oleh masyarakat di pelbagai peringkat dan tidak dianggap terlalu asing.

"Keputusan dasar luar negara adalah demi kepentingan nasional, justeru kerajaan sedang berusaha merakyatkan dasar luar Malaysia.

"Kita menerangkan dasar ini kepada golongan profesional tempatan dan antarabangsa, malah turut turun ke lebih lima universiti tempatan untuk bertemu dan mendapatkan maklum balas mahasiswa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat berkaitan kerangka dasar luar negara di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini hari ini.

Perbincangan hampir dua jam itu, disertai Pengerusi dan Ketua Eksekutif ISIS Tan Sri Rastam Mohd Isa serta kira-kira 50 ahli akademik asing daripada pelbagai institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan dan antarabangsa.

Saifuddin berkata kerangka itu dijangka dilancarkan secara rasmi tahun ini.

Pada sidang Dewan Rakyat Oktober lepas, Saifuddin membawa usul ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia.

Pada 23 Okt, beliau mengumumkan kerangka dasar luar yang baharu bertemakan Perubahan Dalam Kesinambungan dengan tujuan meletakkan Malaysia sebagai negara Islam maju, inklusif dan progresif.

Kerangka Dasar Luar itu mempunyai empat komponen merangkumi hala tuju Kementerian Luar; memperkasa Kementerian Luar; mengeratkan kerjasama antara agensi berkaitan dasar luar; dan menarik penyertaan rakyat dalam pembentukan dasar luar.

-- BERNAMA