Sepasang suami isteri rakyat Malaysia sedang menghadapi perbicaraan di Norway, berhubung kes penderaan anak di negara itu.

Perkara itu disahkan Wisma Putra menerusi satu kenyataan di Putrajaya hari ini, susulan laporan akhbar pada Khamis berhubung hak penjagaan lima anak pasangan suami isteri itu.

Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, kedua-duanya 42 tahun, dilaporkan hilang hak penjagaan lima anak berusia antara empat dan 16 tahun, sejak Mei lalu, selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang anak mereka.

Menurut Wisma Putra, perkembangan kes tersebut dipantau pihaknya dan Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden, yang ditauliahkan serentak ke Norway.

"Pihak Kedutaan Malaysia telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras dengan peruntukan Konvensyen Vienna 1963.

"Pihak Kedutaan Malaysia sedang bekerjasama dengan agensi tempatan yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga tersebut dipelihara, termasuk memastikan anak-anak mereka ditempatkan bersama-sama keluarga beragama Islam," katanya.

Wisma Putra juga telah mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia itu untuk turut hadir dan mengikuti perbicaraan kes tersebut yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 November 2019.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, Wisma Putra sedang mengumpul maklumat berhubung kes tersebut kerana pihaknya belum dapat maklumat lanjut mengenainya.

"Malaysia tidak mempunyai pejabat kedutaan di negara terbabit.

"Bagaimanapun, kita sudah menghubungi konsulat dan pejabat kedutaan yang berdekatan untuk membantu mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan.

"Ini bagi mengesahkan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku dan jika ia benar, maklumat lengkap perlu diperoleh sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya menurut akhbar Harian Metro.