Kerajaan disaran membentuk dan membincangkan perjalanan terkawal dan laluan hijau bersama negara ekonomi utama yang mempunyai kadar jangkitan rendah, serta sistem pencegahan pandemik yang berkesan.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat penerbangan bersedia untuk terbang ke destinasi yang dianggap selamat dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kenyataan itu menyebut, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, banyak negara-negara di seluruh dunia telah membenarkan perjalanan domestik dan membuka kembali pintu masuk antarabangsa secara beransur-ansur sebagai pengiktirafan bahawa pengangkutan udara adalah penting untuk menjana kembali aktiviti ekonomi.

“Perjalanan udara adalah salah satu kaedah perjalanan yang paling selamat.

"Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), risiko jangkitan di dalam pesawat terbukti amat rendah.

"Ini kerana pesawat dilengkapi dengan ciri-ciri untuk mengurangkan risiko jangkitan yang telah terbukti amat rendah dalam pesawat.

“Kedudukan penumpang yang menghadap ke hadapan tempat duduk berfungsi sebagai penghadang, sementara udara di dalam kabin ditapis sepenuhnya dan diperbaharui pada setiap 2-3 minit melalui penapis HEPA bergred hospital untuk memastikan udara sentiasa bersih," kata Airasia lagi.

Syarikat itu berkata peningkatan keselamatan-bio yang meliputi seluruh perjalanan penumpang akan terus mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat.

Selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa kesihatan, AirAsia berkata mereka juga telah telah melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalanan dan langkah-langkah keselamatan baharu serta kemudahan untuk mereka yang berisiko untuk memastikan keselamatan untuk semua.

Menurut AirAsia sektor penerbangan dan pelancongan menyumbang sekitar 4 ke 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dengan lebih 65 juta pekerjaan di seluruh dunia disokong oleh sektor penerbangan, sementara 1 daripada 10 pekerjaan di seluruh dunia disumbang oleh sektor pelancongan.

Syarikat itu juga menyokong usaha kerajaan membendung penyebaran COVID-19 dan menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa bermula 10 Jun 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.