Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menyembelih tiga ekor lembu sempena Majlis Ibadat Qurban Jama'ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, siang tadi.

Seri Paduka, yang tiba kira-kira pukul 11.35 pagi diiringi Pemangku Raja Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Yang Dipertua Maik Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata Yang di-Pertuan Agong menyumbangkan sebanyak 30 ekor lembu manakala Pemangku Raja Kelantan pula menyumbangkan tujuh ekor lembu.

MAIK pula menyumbangkan 33 ekor lembu bagi majlis tersebut.

Semua daging korban tersebut akan diagihkan kepada 2,500 asnaf dan fakir miskin sekitar Kota Bharu.

“Sejumlah 70 ekor kita akan agihkan ke outlet, pusat agihan ada 20, termasuk pondok-pondok, masjid, masjid besarnya Masjid Muhammadi di Kota Bharu, masjid Panji, dan masjid-masjid sekitar.

“.. dan pondok-pondok (yang menerima agihan daging lembu) ialah Pondok Lubuk Tapah, Pondok Pasir Tumboh, dan sebagainya, dan untuk setiap asnaf akan mereka akan dapat insya-Allah sekilo daging dan sekilo tulang yang dicincang,” ujar Nik Mohd Azlan.

Tambahnya, pada tahun lepas MAIK mengorbankan 57 ekor lembu dan diagihkan kepada 2,300 asnaf dan fakir miskin.